Zii Jia pamer peningkatan ketara, kini lebih yakin - James Selvaraj
Bernama
Ogos 25, 2023 15:37 MYT
Ogos 25, 2023 15:37 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun gagal melepasi pusingan ketiga, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia telah menunjukkan peningkatan ketara dalam aksinya pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark.
Perkara itu ialah penilaian jujur daripada bekas pemain perseorangan lelaki negara Datuk James Selvaraj berhubung pemain badminton itu pada kejohanan berkenaan.
James berkata beliau kagum dengan pendekatan Zii Jia terhadap setiap perlawanan dalam kejohanan yang diadakan di Royal Arena itu.
Beliau berkata pemain nombor 13 dunia itu kini bermain dengan penuh keyakinan berbanding semasa aksi suram yang ditampilkan beberapa bulan lepas.
"Beliau bertambah baik dalam perlawanan demi perlawanan dan pukulannya jauh lebih baik. Penting untuk Zii Jia mendapatkan semula keyakinannya. Dahulu, beliau seolah-olah hilang keyakinan sehingga kalah pada pusingan pertama atau kedua.
"Untuk menjadi pemain yang hebat, anda perlu sentiasa yakin. Jika tiada keyakinan bagaimana mahu menjadi juara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun, James hairan dengan kekalahan Zii Jia kepada pemain tuan rumah Anders Antonsen dalam pusingan ketiga pada kejohanan dunia itu kerana beliau menampilkan permainan tahap tinggi berbanding pemain Denmark itu sebelum tewas dalam perlawanan straight set 18-21, 17-21.
Bekas jurulatih itu juga berkata persoalannya kini bergantung kepada atlet dari Kedah itu berhubung bagaimana beliau dapat menghadapi situasi itu tanpa merangkul sebarang gelaran sehingga berhasrat untuk kembali menggegarkan gelanggang.
"Saya berharap beliau akan terus memperbaiki diri dan berbincang bersama jurulatih tentang perkara yang perlukan perubahan," katanya.
Zii Jia kini dibimbing oleh Wong Tat Meng yang berkhidmat sebagai pengarah kejurulatihan Team LZJ.
Kali terakhir Zii Jia memenangi gelaran adalah pada Mei 2022 apabila menewaskan pemain China, Li Shi Feng, 17-21, 21-11, 23-21 untuk dinobatkan sebagai juara Terbuka Thailand di Bangkok.
Pada Kejohanan Dunia 2023, pemain bukan pilihan itu melakar kejutan dengan mengetepikan bintang Indonesia yang juga pemain pilihan kelima Jonatan Christie dalam perlawanan straight set 21-13, 21-15 pada aksi pembukaan.
Atlet berusia 25 tahun itu kemudian meneruskan prestasi cemerlangnya dengan mengalahkan pemain Kanada Brian Yang, 21-11, 21-16 pada pusingan kedua.
Zii Jia mengharungi perjalanan yang suram menjelang Kejohanan Dunia termasuk ditunjukkan jalan keluar sebanyak empat kali, namun berjaya memecah kebuntuan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Australia 2023 pada awal Ogos, bagaimanapun tewas di tangan atlet China Weng Hong Yang 19-21, 21-13, 13-21.
Dalam pada itu, James turut memuji pemain negara Ng Tze Yong yang mempamerkan beberapa tanda positif pada kejohanan dunia itu dan berkembang menjadi pemain yang lebih baik kini.
Tze Yong memulakan kempen dengan mengecewakan pemenang pingat gangsa edisi sebelum ini, Zhao Jun Peng dari China dengan 21-19, 26-24 untuk mara ke pusingan kedua.
Perjuangan pemain kelahiran Johor itu bagaimanapun terhenti apabila ditewaskan Antonsen, 22-24, 16-21 pada pusingan kedua.
-- BERNAMA