Zii Jia mulakan kempen Jelajah Dunia Akhir BWF dengan langkah kanan
Bernama
Disember 1, 2021 16:36 MYT
Disember 1, 2021 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia memulakan kempen saingan Jelajah Dunia Akhir BWF dengan langkah kanan setelah menewaskan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada aksi pembukaan Kumpulan B di Bali, Indonesia hari ini.
Walaupun ketinggalan 6-9 pada peringkat awal permainan, Zii Jia yang juga pemain nombor lapan dunia itu kembali mengejar untuk mendahului satu mata sebelum berehat dan meneruskan rentak untuk menang set pertama 21-15.
Keadaan sama berlaku pada set kedua apabila Zii Jia bermula agak gugup setelah Kunlavut mendahului dengan empat mata, 11-7 sebelum berehat, namun kecederaan jari yang dialami pemain Thailand menyebabkannya ketinggalan 14-16 sekali gus membolehkan pemain Malaysia meraih kemenangan 21-16.
Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berhadapan kesukaran kerana gagal mengatasi gandingan nombor empat dunia Kim Soyeong-Kong Heeyong dari Korea Selatan pada aksi Kumpulan A.
Pearly-Thinaah tewas dalam straight set 21-14, 21-14, kepada pasangan Korea Selatan itu dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit.