Zii Jia mara ke pusingan kedua Malaysia Masters 2024
Bernama
Mei 22, 2024 22:39 MYT
Mei 22, 2024 22:39 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mengakui menjuarai Terbuka Thailand 2024 baru-baru ini membantu dirinya bangkit pada dua set terakhir untuk menumpaskan pemain China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024, di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu yang turun sebagai pilihan kelima kejohanan ketinggalan 19-21 pada set pertama sebelum kelihatan lebih tenang dan terkawal untuk mencatatkan 21-11 dan 21-14 ke atas Zhao Jun Peng pada dua set seterusnya dalam perlawanan yang berlarutan 61 minit.
"Saya rasa keyakinan yang saya dapat di Thailand membantu saya untuk mengatasi kekecewaan pada set pertama. Saya gembira saya dapat mengawal perlawanan hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ini merupakan kemenangan ketiga Zii Jia ke atas pemain China itu selepas Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka Hong Kong 2023.
Juara Seluruh England 2021 itu seterusnya akan bertemu pemain India Kiran George yang menumpaskan Takuma Obayashi dari Jepun, 21-16 dan 21-17 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu.
"Biasanya pemain muda yang sedang meningkat naik, mereka tidak ada tekanan dan hanya perlu bermain dan kemudian mengejutkan kita. Ini cabaran yang saya perlu atasi (dalam menentang Kiran)," kata Zii Jia yang merupakan pemain pilihan kejohanan dan nombor 10 dunia.
Mengikuti langkah Zii Jia ke pusingan kedua ialah beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menumpaskan Kim Young Hyuk-Wang Chan dari Korea Selatan, 21-18, 22-20.
"Kita banyak (buat) kesilapan sendiri tapi kita dah buat terbaik dan kembali fokus pada set kedua bila dapat mendahului," kata Wooi Yik ketika diminta mengulas mengenai perlawanan hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang turun sebagai pilihan pertama kejohanan akan melakukan perhitungan buat kali pertama dengan pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi pada pusingan ke-16 terbaik, esok.
Juara dunia 2022 itu mempunyai kelebihan untuk menempah tiket ke suku akhir apabila menghuni tangga keempat dunia manakala Bo Yang-Yi menduduki tangga ke-25 dunia.
-- BERNAMA