Zii Jia lonjak empat anak tangga

Sinar Harian
Ogos 8, 2023 17:26 MYT
Kejayaan Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Australia - kejohanan berstatus Super 500 pada Sabtu lalu telah memberikannya sebanyak 6,420 mata. - Gambar fail/Sinar Harian
PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mempamerkan peningkatan ketara dalam ranking dunia selepas mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia minggu lalu.
Menerusi kemas kini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa, Zii Jia melonjak empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-13 dunia.
Kejayaan Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Australia - kejohanan berstatus Super 500 pada Sabtu lalu telah memberikannya sebanyak 6,420 mata.
Pungutan mata itu dicampur dengan sembilan kejohanan terbaiknya dalam tempoh setahun untuk dia mengumpul 56,576 secara keseluruhan.
Ia merupakan lonjakan ketara buat Zii Jia yang mendapat bimbingan Wong Tat Meng sejak awal Julai lalu, dalam kedudukan ranking dunia setelah merekodkan penurunan sejak pertengahan Jun.
Pada Jun lalu, Zii Jia membuat keputusan mengejutkan apabila mahu berehat seketika daripada menyertai sebarang kejohanan selepas tewas pada pusingan pertama Terbuka Indonesia.
Terbuka Indonesia adalah kejohanan keempat Zii Jia kalah awal selepas penyertaannya pada Terbuka Singapura, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.
Sementara itu, perseorangan kedua lelaki negara, Ng Tze Yong mengalami penurunan satu anak tangga dan menghuni kedudukan ke-22 dunia.
Perseorangan ketiga lelaki negara, Leong Jun Hao pula mencatatkan kenaikan lima anak tangga dan berada di tangga ke-46 dunia.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Lee Zii Jia #ranking dunia #persekutuan badminton dunia #BWF
;