Zii Jia, lima beregu layak ke final Jelajah Dunia HSBC BWF

Bernama
Januari 25, 2021 13:05 MYT
Acara final kejohanan Jelajah Dunia HSBC BWF yang akan diadakan di Impact Arena dari 27 hingga 31 Jan di Bangkok, Thailand. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dan lima beregu Malaysia berjaya melangkah ke Final Jelajah Dunia HSBC BWF yang akan diadakan di Impact Arena dari 27 hingga 31 Jan di Bangkok, Thailand.
Lima beregu negara itu adalah dua beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dua gandingan wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Kesemua mereka layak ke kejohanan akhir musim itu selepas tersenarai dalam lapan pemain dan beregu terbaik bagi setiap kategori dalam HSBC BWF Road to Bangkok Rankings.
Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi laman webnya www.bwfworldtourfinals.bwfbadminton.com, maksimum dua pemain atau beregu bagi setiap Ahli Persatuan layak untuk menyertai Final Jelajah Dunia HSBC BWF.
Pemain diwajibkan menyertai kedua-dua kejohanan Terbuka Thailand Yonex dan Toyota untuk layak ke Final Jelajah Dunia HSBC BWF.
Bagaimanapun, Malaysia gagal untuk melayakkan diri dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah US$1.5 juta (RM6.07 juta) itu selepas tiada pemain dalam acara berkenaan tersenarai sebagai lapan pemain terbaik.
Undian untuk Final Jelajah Dunia HSBC BWF dijadualkan pada 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) esok.
-- BERNAMA
#badminto #Lee Zii Jia #Jelajah Dunia HSBC #BWF #Aaron Chia #Soh Wooi Yik #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #Chow Mei Kuan #Lee Meng Yean #Vivian Hoo #Yap Cheng Wen #goh soon huat #Shevon Lain
;