Zii Jia kini nombor empat dunia
Sinar Harian
Ogos 27, 2024 16:01 MYT
Ogos 27, 2024 16:01 MYT
PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memanjat dua anak tangga untuk berada di kedudukan keempat berbanding keenam dunia sebelum ini.
Perkembangan positif tersebut dikongsi menerusi kemas kini ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa.
Biarpun tersingkir pada pusingan awal Terbuka Jepun minggu lalu, namun pemain berusia 26 tahun itu mencatat peningkatan hasil rentak positif termasuk merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris awal bulan ini.
Zii Jia mengumpul 83,716 mata untuk memintas dua lagi pemain iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan Anders Antonsen dari Denmark.
Kejayaan tersebut menyaksikan juara Terbuka Thailand itu kembali ke dalam kelompok empat pemain terbaik dunia dengan kali terakhir Zii menghuni tangga itu pada 23 April 2023.
Ranking pertama masih kekal milik jaguh China, Shi Yu Qi dan juara Sukan Olimpik Paris 2024, Viktor Axelsen di tempat kedua sambil diekori rapat Jonathan Christie dari Indonesia di kedudukan ketiga. -- Sinar Harian