Zii Jia kini nombor dua ranking badminton dunia
Sinar Harian
Oktober 26, 2022 12:00 MYT
Oktober 26, 2022 12:00 MYT
JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia mendaki satu anak tangga untuk berada di ranking kedua dunia, biarpun gagal merangkul Terbuka Denmark Ahad lalu.
Meskipun tewas kepada pemain China, Shi Yuqi 18-21, 21-16, 12-21 pada aksi final, namun kejayaan muncul naib juara pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF itu memberikannya mata yang baik untuk membaiki kedudukan ranking.
Juara Asia itu mengutip 9,350 mata dalam kejohanan tersebut.
Ia merupakan ranking terbaik dalam karier pemain dari Alor Setar, Kedah itu dengan mengumpul 92,528 mata keseluruhan, berada di belakang jaguh Demark, Viktor Axelsen (122,606 mata).
Seorang lagi pemain muda negara, Leong Jun Hao turut merasai kenaikan dalam ranking dunia setelah muncul juara Masters Indonesia, Ahad lalu yang memberi inspirasi baharu kepadanya.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Rabu juga memaklumkan bahawa Jun Hao, 23, menerima kenaikan mendadak 28 anak tangga ke kedudukan ke-73 dunia.
Bagi kategori beregu lelaki, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga keempat.
Dua lagi beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Eei Yi serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak mengalami perubahan di kedudukan kesembilan dan ke-10.
Beregu campuran nombor satu negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula mengalami kenaikan satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dunia. -- Sinar Harian