Zii Jia kembali jalani latihan di ABM
Bernama
April 30, 2021 22:00 MYT
April 30, 2021 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia antara pemain yang kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini, yang sebelum ini ditutup susulan penularan wabak COVID-19 dikesan di lokasi berkenaan.
Beregu wanita muda negara meningkat naik, Pearly Tan-M.Thinaah juga dilihat menyertai Zii Jia dan beberapa pemain lain dalam sesi latihan yang dijalankan di ABM sejak Selasa lepas.
Mereka kembali menjalani latihan selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif COVID-19 di ABM, baru-baru ini.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata sesi kali ini hanya melibatkan pemain yang terlibat dengan kejohanan dijadual berlangsung dalam tempoh sebulan dari sekarang.
"Sesi bermula dengan latihan ringan termasuk di gimnasium sebelum kita teruskan dengan rejim latihan yang lebih berat selepas ini," katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook BAM hari ini.
Choong Hann menegaskan sesi latihan kali ini dijalankan dengan mengikut prosedur operasi standard yang ketat (SOP) termasuk cuba mengehadkan jumlah pemain pada satu-satu masa seperti di gimnasium dalam usaha membendung penularan virus itu.
Enam pemain di ABM disahkan positif COVID-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus semasa ujian saringan pada 20 April dan seorang lagi dikesan positif dalam saringan pada Sabtu lepas.
-- BERNAMA