Zii Jia, Jun Hao tidak boleh berlengah lagi - Misbun

Astro Arena
Mei 29, 2018 08:18 MYT
MISBUN: Saya akan cuba untuk terus membantu meningkatkan mutu permainan Zii Jia dan Jun Hao. - Foto Astro ARENA / Fail
KETUA jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menganggap pemain muda, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, tidak boleh berlengah lagi untuk terus mempamerkan aksi lebih konsisten dalam saingan Terbuka Thailand dan Singapura pada Julai depan.
Ia merujuk kepada prestasi semasa dua pemain itu dalam saingan Piala Thomas baru-baru ini.
Sudah tiba masa untuk mereka lebih serius menggalas cabaran utama dan tidak lagi sekadar menjadi pemain ujian yang perlu dinilai terlebih dahulu tahap prestasi sebelum disenaraikan ke kejohanan tatkala mereka sebenarnya mampu untuk lebih konsisten selepas ini.
Justeru, tiada alasan untuk Zii Jia dan Jun Hao gagal memberi saingan terbaik dalam Terbuka Thailand dan Singapura pada Julai depan bagi memastikan prestasi semasa terus meningkat.
"Zii Jia dan Jun Hao akan menghadapi beberapa kejohanan akan datang. Saya akan cuba untuk terus membantu meningkatkan mutu permainan mereka," kata Misbun.
Penilaian turut diberikan kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebaik sahaja memulakan latihan hari ini.
Ia ibarat satu amaran kepadanya untuk tidak lagi sekadar berada di tahap sederhana selepas ini tatkala pemain muda lain sudah mula mencuri tumpuan.
"Untuk Iskandar, perjalanan dalam sukan ini semakin sukar. Jika dia mahu mencapai tahap yang sama seperti (Datuk Lee) Chong Wei, dia perlu bekerja lebih keras," katanya lagi.
#badminton #Iskandar Zulkarnain Zainuddin #Lee Zii Jia #Leong Jun Hao #Misbun Sidek #pemain muda #Piala Thomas #Singapura #sukan #Terbuka Thailand #Thailand
;