Zii Jia 'jinakkan' juara dunia, mara ke suku akhir

Bernama
Oktober 4, 2023 16:28 MYT
Perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas menundukkan juara dunia Kunlavut Vitidsan di pusingan ketiga acara badminton Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Binjiang hari ini. - fotoBERNAMA
HANGZHOU: Perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas menundukkan juara dunia Kunlavut Vitidsan di pusingan ketiga acara badminton Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Binjiang hari ini.
Pemain di ranking ke-16 dunia itu yang mendapat sokongan padu penyokong, mengetepikan Kunvalut 10-21, 21-19, 21-6 untuk menempah tempat di suku akhir, selepas tidak berjaya melakukannya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang.
Tewas pada 10-21 di set pertama, pemain negara berusia 25 tahun itu bangkit memenangi set kedua dengan 21-19 sebelum menguasai set penentuan 21-6.
Zii Jia akan berdepan wakil India HS Prannoy, yang mengetepikan Dmitriy Panarin dari Kazakhstan 21-12, 21-13, esok.
"Walaupun ketinggalan tujuh mata pada set kedua, saya cuba sedaya upaya kerana saya tahu, jika kalah bermakna tersingkir. Tapi jika strategi menjadi, situasi akan berubah.
"Walaupun mengalami banyak kekalahan tahun ini, saya sentiasa berusaha untuk menukar keputusan tapi kadang-kadang bukan hari saya. Saya perlu terima sebagai pengajaran, melalui pengalaman kita akan jadikan kita pemain yang matang dan berpengalaman," katanya kepada pemberita.
Mengenai perlawanan esok, Zii Jia berkata beliau perlu lebih bersedia kerana wakil India di ranking ketujuh dunia itu seorang pemain yang kuat dan konsisten.
Sementara itu, Kunvalut berkata beliau tidak dapat berlatih dengan baik menjelang Asia, selepas tiga hari dimasukkan ke hospital akibat influenza sebelum berlepas ke Hangzhou.
Terdahulu, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir selepas mengalahkan wakil India Sai Patheek-Tanisha Crasto of India 21-18, 21-18, dan akan berdepan saingat sengit darupada juara bertahan dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 Zheng Si Wei-Huang Ta Qiong dari China, esok.
Gandingan utama dunia itu menewaskan Bishnu Katuwal-Nangsal Tamang dari Nepal 21-4, 21-7.
Bagaimanapun, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terkandas apabila tewas kepada Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-17, 21-23, 13-21
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #Sukan Asia Hangzhou 2022 #Kunlavut Vitidsan #HS Prannoy
;