Zii Jia, Indra setuju selesai kes luar mahkamah
Bernama
Februari 15, 2024 21:54 MYT
Februari 15, 2024 21:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mendapat tonik berharga untuk meneruskan aksi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas kesnya dengan bekas jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya dipersetujui untuk diselesaikan di luar mahkamah.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan oleh pihak peguam Indra, memaklumkan keputusan itu berdasarkan persefahaman bersama yang disahkan menerusi suratcara peguam masing-masing.
"Berhubung dengan tuntutan yang difailkan oleh Indra terhadap LZJ Management Sdn Bhd (Pengurusan LZJ),dengan sukacita kami memaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah secara baik.
"Perpisahan antara LZJ Management dan Indra berlaku semata-mata atas pertimbangan oleh pasukan LZJ mengenai falsafah, kaedah kejurulatihan dan latihan LZJ," demikian menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan perpisahan antara LZJ Management dan Indra tidak mempunyai kaitan dengan kaedah kejurulatihan dan prestasi jurulatih Indonesia berkenaan.
Pada Januari tahun lepas, Indra dilapor memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zii Jia selepas mendakwa diberhentikan secara tidak adil oleh Team LZJ pada November 2022.
Indra menandatangani kontrak tiga tahun dengan Team LZJ pada Februari 2022 tetapi diberhentikan sembilan bulan selepas itu.
-- BERNAMA