Zii Jia harap tuah Yonex

Bernama
April 9, 2021 04:41 MYT
Majlis perjanjian kerjasama antara BAM dan Yonex diadakan di Akademi Badminton Malaysia, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Stadium ASTRO/Astro ARENA
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia mengharapkan tuah jenama Yonex untuk menempa lebih banyak kejayaan dalam sukan badminton pada masa akan datang.
Juara All England 2021 itu mengharapkan agar penajaan oleh Yonex mampu membakar semangat pemain lain serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk terus tampil lebih cemerlang memajukan sukan badminton tanah air.
"Saya sungguh gembira...memang saya guna dan sudah biasa dengan jenama ini sejak dari kecil lagi, saya harap ada 'ong' dan dapat capai keputusan lebih bagus nanti" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjanjian Kerjasama Antara BAM dan Yonex di Akademi Badminton Malaysia, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai hadiah wang tunai dan tajaan diperolehi Zii Jia sejak kebelakangan ini, pemain berusia 23 tahun itu berkata beliau menyerahkan kepada kedua ibu bapanya untuk menguruskan hal kewangannya.
Pemain nombor lapan dunia itu sebaliknya mahu menumpukan sepenuhnya kepada perjalanan kariernya dan berharap agar dapat mengatasi tekanan sebaik mungkin selepas namanya mula mencuri tumpuan penaja susulan kejayaan sensasi menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 pada aksi final All England di Utilita Arena, Birmingham, bulan lepas.
Sementara itu, legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yakin kerjasama BAM dan Yonex mampu membantu pemain meningkatkan prestasi mereka dalam kejohanan yang akan datang.
Chong Wei pada masa sama turut menyatakan kesediaan untuk membantu Zii Jia menguruskan kewangannya dan tekanan selepas dilimpahi rezeki susulan kejayaan gemilang di bumi England.
"Dia ada datang jumpa saya dan bertanyakan bagaimana untuk menguruskan semua itu (kewangan). Saya cerita bagaimana saya uruskan pendapatan dan tekanan, baik daripada penaja mahupun karier sebagai pemain badminton," katanya.
Dalam pada itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM yakin hubungan erat dengan Yonex akan membawa manfaat kepada sukan badminton negara.
"Kami sedang melihat penajaan RM55 juta tidak termasuk bonus sepanjang lima tahun kerjasama dengan Yonex," katanya.
Kerjasama lima tahun antara BAM dan Yonex dari 1 April 2021-31 Mac 2026 itu melibatkan tajaan dalam bentuk wang tunai, peralatan, dan perkhidmatan kepada 151 pemain senior dan junior serta jurulatih.
BAM dan Yonex pernah menjalinkan perkongsian sedekad dari 2005 hingga 2015. Sebelum ini, BAM menandatangani kerjasama selama enam tahun dengan Victor bermula Mac 2015.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #badminton #BAM #Malaysia #all england #Tajaan #Yonex #hadiah #wang tunai #kewangan #ibu bapa #tekanan #Lee Chong Wei #pendapatan #penaja #Mohamad Norza Zakaria
;