Zii Jia harap terus konsisten
Sinar Harian
Mei 18, 2023 08:03 MYT
Mei 18, 2023 08:03 MYT
PERSEORANGAN lelaki negara, Lee Zii Jia berharap rentak positif yang dipamerkannya ketika ini dapat diteruskan sekali gus membantu pasukan badminton negara mara lebih jauh dalam kejohanan Piala Sudirman di Pusat Sukan Olimpik Suzhou.
Menurutnya, kejayaan menewaskan Chou Tien Chen 21-14, 23-21 untuk meraih mata kedua negara ketika kemenangan ke atas Taiwan dalam aksi Kumpulan C sememangnya memberikan semangat berganda buatnya.
"Empat pertemuan terakhir dengan Tien Chen saya kalah dan hari ini saya menang. Untuk pasukan memang saya sangat bangga dapat menyumbang mata penting naikkan semangat pasukan.
"Secara peribadi pula, ia satu 'break' untuk saya sebab sebelum ini empat pertemuan tak pernah menang. Saya harap akan kekal konsisten selepas ini," katanya.
Zii Jia yang sebelum ini dikritik kerana berdepan kemerosotan prestasi tampil cemerlang untuk pasukan negara di Piala Sudirman apabila menang semua perlawanan menewaskan wakil Australia, Ricky Tan dan menumpaskan pemain India K Srikanth dalam aksi kumpulan.
Dalam pada itu, Zii Jia turut menyifatkan kesabaran sebagai kunci untuknya meraih kemenangan ke atas Tien Chen.
"Saya rasa lebih kepada kesabaran untuk hadapi apa jua situasi jika dia kejar balik atau sebagainya. Saya bersabar dan ada sediki tuah hari ini.
"Untuk perlawanan ini juga, perasaan sangat berbeza dengan suasana yang buat saya sangat teruja.
"Saya mahu fokus dan naikkan semangat balik selain membantu pasukan negara dalam kejohanan ini," katanya. - Sinar Harian