Zii Jia gagal mara ke separuh akhir BAC 2024

Bernama
April 12, 2024 21:04 MYT
Lee Zii Jia tewas di tangan Jonatan Christie setelah mencatatkan lima kemenangan dalam pertemuan sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia akhirnya tewas di tangan Jonatan Christie setelah mencatatkan lima kemenangan dalam pertemuan sebelum ini, apabila disingkirkan pemain Indonesia itu pada pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China hari ini.
Zii Jia yang turun selaku pemain pilihan kelapan kejohanan bermula goyah dalam set pertama susulan beberapa kesilapan yang dilakukannya dan set berakhir 11-21 dengan memihak kepada pilihan ketiga Christie.
Wakil Malaysia itu terus membiarkan dirinya diperkotak-katikkan di set kedua untuk Christie mengungguli set 21-6.
Malaysia bagaimanapun berhasil menempah satu tempat di pusingan akhir apabila dua beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan bertarung esok dalam separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir selepas menang straight set ke atas beregu tuan rumah Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-14, 21-15.
Sementara Sze Fei-Nur Izzuddin mengharungi perlawanan selama 68 minit sebelum berjaya mengetepikan juara Olimpik 2020 Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan 19-21, 21-19, 21-19.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #BAC 2024 #badminton #Jonatan Christie #suku akhir
;