Zii Jia diingatkan usah selesa dengan apa yang dinikmati ketika ini
Bernama
Mei 27, 2022 17:29 MYT
Mei 27, 2022 17:29 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia diingatkan agar tidak mudah selesa dengan pencapaian dilakarnya dalam beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa, ketika ini.
Bekas pemain kebangsaan Roslin Hashim berkata, Zii Jia juga seharusnya tidak mudah hilang fokus memandangkan ramai sedang memerhatikan serta menganalisis setiap gerak gerinya di atas gelanggang selepas berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2022 dan Terbuka Thailand 2022, baru-baru ini.
Kejayaan dilakar pemain berusia 24 tahun itu dalam dua kejohanan tersebut menyaksikannya berjaya naik satu anak tangga dari kedudukan keenam sebelum ini, untuk menyertai kelompok lima pemain terbaik dunia berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemain yang bergerak secara profesional itu meraih 90,378 mata daripada 41 kejohanan disertainya setakat ini.
"Apabila kita dah naik ke atas ini, kita harus ingat ramai pemain akan cuba kalahkan kita dekat atas, jadi pastinya kalau tengok dekat situ tekanan lagi tinggi," kata Roslin kepada Bernama.
Roslin bagaimanapun percaya Zii Jia mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk mengawal tekanan di peringkat tertinggi dengan bijak sekali gus berada di landasan tepat memburu lebih banyak kejuaraan musim ini.
Beliau juga menyifatkan ramuan serta sentuhan jurulatih Zii Jia dari Indonesia, Indra Wijaya ternyata membuahkan hasil selepas juara All England 2021 itu sedang berada dalam kemuncak prestasinya pada waktu ini.
Selain menjuarai dua kejohanan itu, Zii Jia turut mengekalkan rekod cemerlang ketika mewakili Malaysia dalam Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini, dengan merekodkan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan disertainya termasuk menumpaskan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Kento Momota.
Zii Jia menewaskan Momota dengan straight set, 21-17, 21-8, pada aksi terakhir Kumpulan D antara Malaysia dan Jepun dalam kejohanan berprestij badminton berpasukan dunia itu.
Zii Jia seterusnya dijadual menghadapi saingan Terbuka Indonesia 2022 di Jakarta, Indonesia, pada 14-19 Jun depan.
-- BERNAMA