Zii Jia bergelut cari momentum, tersingkir awal saingan Badminton Terbuka Jepun
Bernama
Ogos 31, 2022 15:05 MYT
Ogos 31, 2022 15:05 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengubati kekecewaannya pada Kejohanan Badminton Dunia minggu lepas tidak kesampaian selepas tewas seawal pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini.
Pada perlawanan berlangsung di Maruzen Intec Arena di Osaka itu, Zii Jia gagal dalam misi untuk bangkit apabila tewas kepada pemain bukan pilihan dari India, Srikanth Kidambi menerusi kekalahan straight set 20-22, 21-23 dalam tempoh 38 minit.
Pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, cabaran Zii Jia terkandas di pusingan ketiga.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Srikanth yang berada di ranking ke-14 dunia berjaya merapatkan rekod kemenangan 1-2 sepanjang tiga pertemuan berdepan Zii Jia yang kini menghuni ranking keempat dunia.
Pada pusingan kedua, Srikanth dijangka bertemu pemain Taiwan, Wang Tzu Wei atau pemain Jepun, Kanta Tsuneyama yang akan bertemu dalam pusingan pertama hari ini.
Sementara itu, pertemuan membabitkan dua pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Chan Peng Soon-Cheah Yee See berakhir dengan keputusan 21-10, 21-14.
Kian Meng-Pei Jing akan bertemu beregu Taiwan, Yang Po-hsuan-Hu Ling Fang pada pusingan kedua.
-- BERNAMA