Zii Jia alami kecederaan ligamen buku lali kanan

Bernama
Disember 15, 2024 21:00 MYT
Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali kanan. - Gambar fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali kanan.
Kecederaan itu memaksa pemain nombor lapan dunia, Zii Jia, menarik diri daripada perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Li Shi Feng dari China pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China, Jumaat lepas.
Dalam kenyataan daripada pasukan Zii Jia, TEAMLZJ, hari ini memaklumkan bagaimanapun kecederaan tersebut 'boleh diuruskan'.
"Keutamaan pasukan adalah untuk memastikan Zii Jia kembali pulih sepenuhnya dan berada dalam keadaan fizikal terbaik sebelum kembali ke gelanggang.
"Oleh itu, program latihan dan perancangan kejohanan Zii Jia untuk musim yang akan datang akan berdasarkan pemeriksaan rapi oleh pasukan dan nasihat perubatan," menurut kenyataan itu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mendahului 15-11 dalam set kedua menentang Shi Feng apabila dia terpaksa menarik diri dengan kecederaan dipercayai berlaku apabila kedudukan 13-5.
Zii Jia, yang telah memenangi set pertama 22-20, tidak dibenarkan menerima rawatan segera oleh pegawai kejohanan sebelum set kedua dihentikan dan beliau dibawa keluar dari gelanggang dengan menggunakan kerusi roda.
Menurut peraturan baharu BWF, pemain tidak dibenarkan menerima rawatan perubatan semasa permainan dan mesti menunggu sehingga waktu rehat.
Peraturan BWF juga menyatakan bahawa semua keputusan akan dibatalkan jika seorang pemain menarik diri.
Zii Jia sebelum itu telah memenangi dua perlawanan Kumpulan A, mengalahkan pemain Taiwan Chou Tien Chen 21-13, 21-15 dan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-14, 21-19.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #kecederaan ligamen #badminton #BWF
;