Zii Jia, Aaron-Wooi Yik mampu rangkul gelaran terbuka Malaysia 2024 - Chong Wei

Bernama
Januari 8, 2024 23:35 MYT
Chong Wei berkata berdasarkan prestasi, pemain perseorangan ranking ke-11 dan gandingan ranking keempat dunia itu sudah pasti tidak mahu mensia-siakan peluang mempamerkan aksi terbaik di halaman sendiri. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei optimis pemain perseorangan Lee Zii Jia dan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, masing-masing mampu mencipta magis merangkul gelaran juara pada Terbuka Malaysia 2024, yang akan membuka tirai di Axiata Arena di sini esok.
Chong Wei berkata berdasarkan prestasi, pemain perseorangan ranking ke-11 dan gandingan ranking keempat dunia itu sudah pasti tidak mahu mensia-siakan peluang mempamerkan aksi terbaik di halaman sendiri.
"Bagi saya ini peluang terbaik buat Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia merangkul kejuaraan. Saya tahu Terbuka Malaysia amat penting sebab kita main di tempat sendiri, serta harapan tinggi daripada peminat.
"Ia satu tanggungjawab yang berat, jadi mereka perlu lakukan yang terbaik untuk kerjaya dan negara," katanya pada sidang media memperkenalkan dua muka baharu yang menyertai 'Yonex Legend Vision' di sini hari ini.
Pemain berkenaan ialah jaguh perseorangan wanita India Saina Nehwal dan bintang Sepanyol Carolina Marin.
Mengimbau detik ketika menyertai Terbuka Malaysia sebelum ini, Chong Wei yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, berkata beliau terharu dengan sokongan peminat ketika itu yang sanggup datang dari jauh bagi memberikan sokongan kepada pemain negara.
"Macam saya, apabila peminat datang ke stadium beri sokongan saya rasa terkesan sampai ada yang datang dari Kuantan, menaiki bas. Jadi, pemain kena berhempas pulas dan jangan mengalah serta buat sehabis baik.
"Kalah tidak mengapa tapi jangan mudah mengalah, mereka faham yang kamu sudah bertarung sehabis baik. Harap kali ini bukan Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia sahaja, tetapi semua orang (pemain negara) ada peluang muncul juara," katanya.
Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky melontarkan cabaran kepada barisan pemain negara untuk mengakhiri kemarau kejuaraan pada Terbuka Malaysia 2024.
Kali terakhir wakil negara muncul juara menerusi Chong Wei pada edisi 2018.
-- BERNAMA
#ABM #Terbuka Malaysia #aksi terbaik #halaman sendiri
;