Zii jia, Aaron-Wooi Yik ke pentas final Kejohanan Badminton Asia

Bernama
April 30, 2022 19:55 MYT
Zii Jia hanya memerlukan 36 minit untuk mengetepikan cabaran Hong Yang, dengan keputusan 21-11, 21-19. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia terus mempamerkan aksi konsisten dan bertenaga pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina hari ini dengan menewaskan pemain China Weng Hong Yang, sekali gus menempah tiket ke pentas final kejohanan itu, esok.
Dalam aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Muntinlupa petang ini, Zii Jia hanya memerlukan 36 minit untuk mengetepikan cabaran Hong Yang, dengan keputusan 21-11, 21-19.
Zii Jia selaku pemain pilihan ketiga kejohanan, akan membuat perhitungan menentang pemain Indonesia Jonatan Christie yang terdahulu menewaskan rakan senegaranya Chico Aura Dwi Wardoyo 21-9, 18-21, 21-16, juga dalam pentas separuh akhir petang ini.
Sementara itu harapan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah ke pentas final tidak kesampaian, apabila disingkirkan rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik,13-21,15-21.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan pemain pilihan kelima kejohanan, hanya mengambil masa 29 minit untuk menyingkirkan pemain pilihan kelapan itu sekali gus, melayakkan diri ke pentas akhir esok.
Gandingan itu dijangka berdepan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan, yang turut bertarung pada peringkat separuh akhir petang ini.
-- BERNAMA
#BAC 2022 #Lee Zii Jia #pentas final #aksi final #peringkat akhir #kejohanan badminton asia #Weng Hong Yang #Manila
;