Zii Jia, Aaron-Wooi Yik antara tercalon bagi Anugerah BWF 2022
Bernama
November 28, 2022 20:52 MYT
November 28, 2022 20:52 MYT
KUALA LUMPUR: Juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan nombor dua dunia, Lee Zii Jia adalah antara pemain yang dicalonkan untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022.
BWF mengumumkan juara Olimpik dan dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, juara dunia tahun lalu, Loh Kean Yew dari Singapura dan Zii Jia, selaku juara Asia 2022, adalah tiga calon untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik.
Kategori Anugerah Pemain Wanita Terbaik bakal menyaksikan persaingan antara pemain nombor dua dunia, An Se Young (Korea Selatan), juara dunia 2021 dan 2022, Akane Yamaguchi (Jepun) dan pemain nombor empat dunia, Tai Tzu Ying (Taiwan).
Bagi Anugerah Beregu Terbaik, Aaron-Wooi Yik, yang dinobatkan sebagai juara dunia pada Ogos lalu, terpaksa berdepan cabaran daripada juara dunia beregu wanita, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (China), juara dunia beregu campuran 202,1 Dechapol Puavaranukroh- Sapsiree Taerattanachai (Thailand) dan penyandang juara beregu campuran dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China).
Anugerah Pemain Paling Meningkat akan menyaksikan pertarungan empat penjuru antara wira Piala Thomas India, H.S.Prannoy, juara Terbuka Jepun, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong (Korea Selatan) dan juara empat kejohanan musim ini, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia).
Sementara itu,penyandang juara dunia dan Paralimpik dalam perseorangan lelaki kategori SU5 (cacat fizikal) Cheah Liek Hou adalah antara empat calon untuk Anugerah Pemain Terbaik Para Lelaki.
Liek Hoou akan dicabar oleh tiga lagi pemain iaitu Daiki Kajiwara (Jepun), Pramod Bhagat (India) dan Lucas Mazur (Perancis).
Selain itu, Anugerah Beregu Para Terbaik menyaksikan pencalonan pemenang pingat perak kejohanan dunia (bekerusi roda), Muhammad Ikhwan Ramli-Noor Azwan Noorlan bersama lima lagi pasangan.
BWF juga mengumumkan pemain muda, Alex Lanier (Perancis), Kodai Naraoka (Jepun) dan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati (Indonesia) dicalonkan untuk Anugerah Pemain Paling Berpotensi Eddy Choong.
BWF memaklumkan majlis anugerah tersebut akan diadakan pada jamuan malam gala, 5 Dis ini sempena Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok dari 7 hingga 11 Dis ini.
"Calon dipilih berdasarkan prestasi pada musim 2021/2022 dari 1 Nov 2021 hingga 31 Okt 2022 dan mengiktiraf pencapaian pemain elit dan para dalam lapan kategori.
"Dalam badminton Para, Suruhanjaya Anugerah BWF memberi kelonggaran khas untuk Kejohanan Dunia Para BWF 2022, yang berakhir pada 6 Nov lalu, untuk dimasukkan dalam senarai kejohanan yang layak," menurut kenyataan BWF itu.
-- BERNAMA