Zidane yakin boleh pulihkan Madrid selepas siri dua kekalahan

Astro Arena
Oktober 22, 2020 09:44 MYT
Zinedine Zidane (tengah) memerhatikan keadaan ketika perlawanan UCL Kumpulan B berlangsung antara Real Madrid dan Shakhtar Donetsk di Stadium Alfredo di Stefano, Madrid, Sepanyol, 21 Okt, 2020. (Foto AP)
ZINEDINE Zidane yakin dia mampu menamatkan prestasi buruk dan memulihkan Real Madrid biarpun semakin tertekan dengan kekalahan mengejut kepada Shakhtar Donestk dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Madrid tewas dua kali berturut-turut di laman sendiri dalam kesemua kejohanan dan ia merupakan kali pertama berlaku di bawah bimbingan ketua jurulatih, Zidane -- tewas 2-3 kepada Shakhtar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B awal pagi tadi selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada pendatang baru, Cadiz, dalam LaLiga hujung minggu lalu.
Shakhtar mendahului 3-0 dalam separuh masa pertama -- kali pertama Madrid dibolosi sebanyak tiga kali dalam babak pertama saingan UCL sejak 15 tahun lalu -- sebelum cuba merapatkan jurang menerusi Luka Modric dan Vinicius Junior dalam 45 minit berikutnya tetapi ia jelas masih belum cukup.
Tekanan kian memuncak buat Zidane menjelang pertemuan Clasico menentang Barcelona, Sabtu ini selepas Madrid tewas tiga perlawanan UCL berturut-turut buat kali pertama sejak 1986 tetapi pengendali itu masih yakin dia individu paling sesuai mengisi jawatan itu di ibu negara Sepanyol berkenaan.
"Saya lihat diri saya mampu menyelesaikannya, itulah yang saya akan cuba," kata Zidane, yang turut mengemudi Madrid ketika terkandas dalam pusingan 16 UCL musim 2019-20, dalam temu bual selepas perlawanan.
"Dan pemain juga akan mencuba perkara yang sama.
"Kami akan mencari penyelesaian dan akan menemukannya.
"Kini kami perlu bersedia untuk perlawanan Sabtu ini (menentang Barcelona di gelanggang lawan)," katanya.

FT: @realmadriden 2-3 @FCShakhtar_eng @lukamodric10 54', @vinijr 59'; Tetê 29', Varane (o.g.) 33', Solomon 42'#RMUCL | #Emirates pic.twitter.com/sQTHAxPq4s

— Real Madrid C.F. (@realmadriden) October 21, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Luka Jovic -- yang bertahan selama 59 minit sebelum digantikan dengan Vinicus -- mengetuai jentera serangan Madrid selepas Karim Benzema diletakkan di bangku pemain simpanan manakala Eder Militao berpasangan dengan Raphael Varane bagi menggantikan kapten dan pertahanan tengah, Sergio Ramos.
Shakhtar pula kehilangan 10 pemain utama disebabkan koronavirus tetapi pasukan dari Ukraine itu mengaibkan Madrid sepanjang babak pertama di Estadio Alfredo Di Stefano menerusi jaringan Mateus Tete dan Manor Solomon di antara gol sendiri Varane.
"Ia perasaan yang buruk (apabila menerima keputusan ini), sudah pasti," tambah Zidane selepas Madrid tewas dalam perlawanan pembukaan UCL di laman sendiri buat kali pertama dalam sejarah.
"Ia akhirnya menjadi bercelaru. Kami melakukan kesilapan yang memberikan mereka gol pertama dan selepas itu, kebenarannya adalah kami kehilangan sedikit keyakinan untuk beraksi, kehilangan segala-galanya dalam babak pertama.
"Saya gembira apabila pemain mengubahnya dan memberikan reaksi dalam babak kedua kerana mereka tidak sepatutnya menerima perkara seperti ini.
"Ia perlawanan yang buruk, malam yang buruk.
"Saya jurulatihnya, sayalah yang perlu mencari penyelesaian dan saya tidak akan menemuinya malam ini," katanya lagi.
#Zinedine Zidane #UCL #bola sepak #Real Madrid #Shakhtar Donestk #Liga Juara-Juara Eropah #tewas dua kali berturut-turut #tewas di laman sendiri
;