Zidane tegur prestasi tidak menentu anak buah selepas tewas kepada Real Mallorca
Astro Arena
Oktober 20, 2019 10:32 MYT
Oktober 20, 2019 10:32 MYT
REAL MALLORCA 1 REAL MADRID 0
Zinedine Zidane tidak bimbang mengenai kekalahan Real Madrid kepada Real Mallorca, sebaliknya menuntut ketekalan yang lebih tinggi daripada anak buahnya.
Rekod kebal Madrid dalam LaLiga musim ini berakhir di Son Moix, awal pagi tadi, hasil gol tunggal daripada Lago Junior.
Skuad kendalian pengurus dari Perancis itu telah menumbangkan pasukan di kemuncak prestasi, Granada, 4-2 sebelum rehat antarabangsa tetapi kali ini, mereka terpaksa berhempas pulas untuk mencipta peluang jaringan yang menjadi punca kekalahan itu untuk tercicir satu mata di belakang pendahulu, Barcelona.
Pengurus Madrid itu berkata kekalahan itu didorong oleh tahap prestasi pemainnya yang kurang tekal ketika ini biarpun menegaskan tidak terlalu bimbang dengan keputusan yang diraih.
"Masalahnya, kami perlu membuktikan kemampuan yang baik pada setiap tiga hari," katanya..
"Itulah kesukaran yang kami hadapi dan kami tidak melakukannya.
"Saya tidak akan mengatakan bahawa saya berasa bimbang kerana saya tidak menggemari perkataan itu, tetapi jika kami mahu memenangi sesuatu pada musim ini, maka kami perlu menampilkan permainan yang tekal."
Madrid turun tanpa Toni Kroos, Luka Modric, Gareth Bale dan Lucas Vazquez yang tercedera, sementara Luka Jovic pula gagal mempamerkan aksi berkesan ketika dipertaruhkan dalam kesebelasan utamanya yang ketiga dalam formasi 4-4-2 itu.
Pengurus berumur 47 tahun berkenaan juga menegaskan masalah kecederaan juga bukannya alasan atas prestasi itu sambil mencabar barisan pemainnya agar meningkatkan prestasi untuk merebut tempat dalam skuad utama.
"Kecederaan bukanlah satu alasan," katanya.
"Ada pemain yang tidak cedera, kami juga memiliki pemain lain yang bagus juga.
"Apabila tiba giliran mereka, mereka perlu membuktikan bahawa mereka layak untuk berada di sini. Kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai pemain yang tercedera.
"Kami juga tidak perlu terkejut dengan keupayaan sebuah pasukan yang beraksi di tempat sendiri. Kami tahu apa yang akan berlaku, mereka mengejutkan kami kerana mereka menjaringkan gol, kemudian mereka bertahan dan kami pula tidak mendapat mencari jalan penyelesaian."