Zidane: Kami tahu gol-gol Ronaldo, Benzema akan menyusul

Astro Arena
November 22, 2017 13:56 MYT
Cristiano Ronaldo dan Vinicius Junior dari Apoel Nicosia beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu. REUTERS
ZINEDINE Zidane bertegas bahawa ia hanya menanti masa untuk Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema menemui semula sentuhan jaringan selepas kedua-duanya masing-masing menyumbat dua gol ketika Real Madrid membelasah APOEL 6-0 dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Ronaldo, yang hanya menjaringkan satu gol dalam LaLiga setakat musim ini dan telah mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang jaringan, mendapatkan dua gol terakhir pasukannya dalam kemenangan mudah di Cyprus dan menempah slot dalam pusingan 16.
Gol-golnya itu membawa jumlahnya kepada 98 buat Madrid dalam kejohanan ini – satu mengatasi Lionel Messi untuk Barcelona – dan menyaksikan Ronaldo mencipta rekod baru 18 gol dalam Liga Juara-Juara pada tahun yang sama.
Sama sepertinya, Benzema juga berada di bawah tekanan hebat musim ini dengan hanya dua gol pada namanya dalam semua kejohanan sebelum kunjungan ke Nicosia itu tetapi berupaya meledak dua gol di antara jaringan Luka Modric dan Nacho Fernandez.
Zidane jelas amat gembira dengan prestasi pasukannya dan menggalakkan penyerang-penyerangnya untuk meneruskan kecemerlangan apabila menerima kunjungan Malaga dalam LaLiga, Sabtu ini.
“Kami bermain satu perlawanan yang bagus, satu perlawanan yang sangat serius,” katanya kepada beIN SPORTS.
"Saya sangat gembira. Kami tidak dibolosi dan kami menjaringkan enam gol.
“Saya juga gembira untuk mereka (Ronaldo dan Benzema), mereka terus berusaha. Kami tahu ia lambat-laun akan berlaku dan gol-gol mereka akan menyusul. Kini mereka perlu terus berikhtiar seperti ini.
“Kami tahu kedua-duanya sangat bagus. Kini kami perlu memikirkan perlawanan berikutnya,” katanya.
Kekalahan kepada Girona dan Tottenham serta seri 0-0 dalam ‘derby’ dengan Atletico Madrid hujung minggu lalu telah meletakkan tekanan ke atas Zidane tetapi bekas bintang Perancis itu tidak terlalu khuatirkan keputusan berkenaan.
“Kami tenang. Akan ada detik-detik sukar dalam satu musim tapi ini adalah bagus,” katanya.
Madrid mara ke peringkat kalah mati dari tangga kedua, dengan kemenangan 2-1 Tottenham ke atas Borussia Dortmund menjamin tangga teratas Kumpulan H buat kelab Liga Perdana Inggeris itu.
#Cristiano Ronaldo #Karim Benzema #Real Madrid #Zinedine Zidane
;