Zidane gembira dengan Los Blancos, tidak mahu tambah pemain baru
Astro Arena
September 27, 2020 10:48 MYT
September 27, 2020 10:48 MYT
KETUA jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, tidak berancang untuk menandatangani pemain baru sebelum jendela perpindahan ditutup berikutan pasukannya meraih kemenangan 3-2 ke atas Real Betis.
Sergio Ramos menjaring penalti pada penghujung permainan ketika juara LaLiga itu meraih kemenangan pertama musim 2020-21 semalam.
Selpas Federico Valverde membuka jaringan pada minit ke-14, Betis mengubah sesuana perlawanan dengan dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi Aissa Mandi dan William Carvalho.
Pemain milik Barcelona, Emerson, menjaringkan gol sendiri selepas perlawanan bersambung sebelum diarah keluar padang ketika perlawanan berbaki 23 minit, dan Real menggunakan kelebihan ketika Ramos menyempurnakan penalti pada minit ke-82.
Zidane ditanya mengenai aktiviti perpindahan Real sebelum perlawanan bermula, dengan gergasi Sepanyol itu tidak membawa masuk sebarang pemain namun membenarkan Gareth Bale, James Rodriguez dan Brahim Diaz berhijrah.
Persoalan itu sekali lagi ditanya kepada Zidane yang menjelaskan, "Tidak. Kami telah bercakap mengenai perkara ini sebelum ini. Saya gembira dengan pasukan yang saya miliki.
"Kami akan kekal dengan apa yang dimiliki dan cuba mengharungi dengan berjaya."