Zidane anggap kontrak baru tiada makna
Astro Arena
Januari 11, 2018 10:49 MYT
Januari 11, 2018 10:49 MYT
PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane, mengakui bahawa kontraknya bersama pasukannya tidak memberikan sebarang makna selepas prestasi buruk terus ditampilkan anak buahnya ketika terikat 2-2 ketika bertemu pasukan daripada LaLiga2, Numancia.
Skuad Los Blancos tetap layak ke pusingan suku akhir Piala Raja Sepanyol selepas menang 5-2 menerusi agregat tetapi tidak mengubah fakta bahawa pasukannya hanya meraih satu kemenangan dalam empat aksi terakhir.
Ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona, Zidane sedar bahawa tempatnya selaku pengurus tidak begitu selamat.
"Saya hanya meneruskan perlawanan demi perlawanan," kata Zidane yang bersetuju dengan kontrak baru, September lalu.
"Walaupun memiliki kontrak dua atau tiga tahun, saya tahu bahawa ia tidak memberikan sebarang makna.
"Tidak mudah buat pemain yang jarang beraksi. Kami menampilkan aksi yang menarik, cuma kekurangan dalam aspek penyudah," tambahnya.
Zidane merehatkan beberapa tonggak utama seperti Cristiano Ronaldo, Luka Modric serta Gareth Bale, dan dia jelas gembira dengan persembahan skuad mudanya, terutama prestasi pemain sayap yang menjaringkan dua gol, Lucas Vazquez.
"Saya gembira dengan apa yang dipamerkan oleh pemain-pemain.
"Kami terpaksa akur dengan dua gol lewat dalam setiap babak. Lawan menunjukkan aksi terbaik walaupun kami bermain dengan bagus.
"Bagi saya, kami sedang dalam proses memperbaiki setiap kelemahan dan yakin seluruh pasukan akan terus meningkat."