Zhing Yi teruja ke Sukan SEA, mahu balas budi BAM
Bernama
Mac 31, 2023 16:46 MYT
Mac 31, 2023 16:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita Tan Zhing Yi tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila disenaraikan buat kali pertama oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), untuk menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei ini.
Zhing Yi kini menjalani latihan intensif bersama jurulatih James Chua dengan memberi tumpuan kepada aspek kecergasan fizikal untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti, sebagai persediaan bersaing dalam dua kategori iaitu acara perseorangan dan kumpulan pada kejohanan itu nanti.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan ini, dan sasaran sudah pasti mahu menang. Namun, saya perlu tampilkan keyakinan dalam setiap peringkat permainan. Sukan SEA jadi pentas kedua untuk saya beraksi dalam acara berkumpulan selepas Piala Uber di Bangkok tahun lepas.
"Saya banyak belajar di Piala Uber contohnya cara bermain dalam arah angin yang kuat dalam gelanggang, jadi ambil pengajaran daripada situ dan berlatih bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata rakan senegara Siti Nurshuhaini Azman yang turut akan berjuang di Kemboja ada berkongsi beberapa nasihat untuk memastikan dirinya bersedia dari aspek mental dan fizikal ketika bertemu pihak lawan di dalam gelanggang.
SUKAN-ZHING YI (BADMINTON) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Siti Nurshuhaini mewakili negara pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam, namun terpaksa akur apabila ditewaskan pemain kesembilan dunia Pornpawee Chochuwong dari Thailand pada peringkat suku akhir.
Pada Sukan SEA Hanoi Mei lepas, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Dalam pada itu, BAM mempertaruhkan barisan muda ke Sukan SEA 2023 iaitu kategori perseorangan lelaki melibatkan Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ong Ken Yon manakala Zhing Yi, Siti Nurshuhaini dan Wong Ling Ching bagi kategori wanita.
Beregu lelaki pula akan diwakili Goh Boon Sze-Rayner Beh dan Chia Wei Jie-Liew Xun manakala Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan dan Valeree Siow (kumpulan) bagi kategori wanita.
Beregu campuran pula melibatkan Yap Roy King-Yap Ling dan Choong Hon Jian-Cheng Su Yin manakala pemain simpanan ialah Lee Shun Yang (lelaki) dan Ong Xin Yee (wanita).
Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.
-- BERNAMA