Zaqhwan Zaidi yakin ulangi pencapaian 2014
Astro Arena
Mac 30, 2016 20:10 MYT
Mac 30, 2016 20:10 MYT
PELUMBA negara, Zaqhwan Zaidi mengakui kehadiran beberapa pelumba ternama dalam Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) akan memberi tentangan hebat namun dia enggan berputih mata menghadapi cabaran yang akan datang.
Zaqhwan yang juga juara keseluruhan edisi 2014 mengakui musim ini bakal menjadi antara cabaran paling hebat dalam pemburuannya untuk menambah koleksi kejuaraan.
Bagaimanapun, penyertaan beberapa pelumba dari Jepun dan Thailand khususnya dilihat mampu menyekat peluang-peluang pelumba negara untuk peroleh kemenangan.
Namun, Zaqhwan yang mewakili pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing percaya dalam kemampuannya untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu.
"Bagi saya, memang agak sukar kerana ada empat juara serta beberapa pelumba Moto2. Jadi, persaingan kali ini agak sengit kerana mereka semua adalah pelumba yang berkaliber di atas trek," kata Zaqhwan.
Menjelang perlumbaan pusingan pertama di litar Pasir Gudang minggu ini, Zaqhwan sifatkan dirinya berada pada tahap terbaik.
Ia berdasarkan keputusan sesi ujian pra-musim pada litar sama minggu lalu yang menyaksikan Zaqhwan cemerlang dengan mencatat masa terpantas.
Untuk rekod, kali terakhir litar Pasir Gudang menganjurkan saingan ARRC adalah pada 2007.
Zaqhwan mengambil sikap waspada dengan keadaan litar yang disifatkannya masih lagi asing buat beberapa pelumba.
"Tarmac trek itu sudah kasar dan hampir semua pelumba mengalami masalah cengkaman. Selain itu, pilihan tayar juga agak susah kerana ia hanya mampu bertahan untuk menamatkan 10 pusingan sahaja," tambahnya.