Zaqhwan juara SuperSport 600cc
Astro Arena
Disember 4, 2016 21:59 MYT
Disember 4, 2016 21:59 MYT
PELUMBA Musashi Honda, Muhammad Zaqhwan Zaidi, melakar kejayaan bermakna di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand hari ini apabila dinobatkan selaku juara keseluruhan kategori SuperSport 600cc meskipun menamatkan perlumbaan kedua di tempat ketujuh dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2016.
Ketika perlumbaan berbaki sembilan pusingan, pelumba T.Pro Yuzy Honda, Tomoyoshi Koyama, mengalami masalah jentera untuk membuka peluang kepada Zaqhwan memintas kedudukan keseluruhan.
Zaqhwan mengekalkan tunggangannya sehingga ke garisan penamat untuk meraih tempat ketujuh dan dinobatkan juara keseluruhan kategori itu.
Ini adalah kejuaraan kedua Zaqhwan selepas kali terakhir melakukannya pada 2014.
"Saya tidak jangka yang Koyama keluar dulu, jadi saya rasa nombor sembilan (pada awalnya) itu tidak memberi kedudukan juara kepada saya. Tetapi apabila sudah habis, saya tidak tahu nak kata apa. Tahu-tahu saya sudah juara," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus T.Pro Yuzy Honda, Shahrol Yuzy, kelihatan begitu sebak dengan kejayaan Zaqhwan.
Meskipun berbeza pasukan, Sharol adalah mentor yang mendidik Zaqhwan sejak dari zaman awal kariernya bergelar pelumba profesional.
"Itu yang membuatkan saya rasa beremosi. Rasa sedih, rasa gembira tetapi dalam masa yang sama, kegembiraan saya itu dibelenggu dengan kesedihan sebab pasukan saya mengalami kerosakan motosikal.
"Jadi, saya rasa amat berbangga dengan apa mereka kecapi dan ini adalah rezeki dia (Zaqwan). Bagi pasukan saya, Insya-Allah, mungkin tahun depan kami akan cuba yang lebih baik," kata Shahrol Yuzy.
Perlumbaan kedua hari ini dimenangi oleh pelumba tuan rumah, Decha Kraisart, dengan masa terpantas 29' 56.328 saat.
Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 142 mata.
Sementara itu, Zaqhwan yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, mengumpul 161 mata keseluruhan, tiga mata di depan Koyama yang tidak bernasib baik di Buriram.