Zamsaham tak jadi jual Kelantan FC
Sinar Harian
April 19, 2023 10:41 MYT
April 19, 2023 10:41 MYT
NORIZAM Tukiman membatalkan hasratnya mahu menjual Kelantan FC selepas tiada mana-mana pihak berani tampil menawarkan hasrat mengambil alih kelab tersebut.
Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, ramai yang hanya berani memberikan komen dan kritikan tetapi tidak sanggup mengambil risiko membeli skuad The Red Warriors (TRW) itu.
"Genap sudah tujuh hari (pada Selasa). Yang bercakap dan komen ramai tetapi sayangnya tiada seorang pun yang nak ambil risiko, keluar duit, atau pendek cerita ambil alih sepenuhnya A - Z Kelab TRW Kelantan FC dari saya," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Sebelum ini, Zamsaham terfikir untuk melepaskan saham pasukan itu kepada individu yang mampu selepas berdepan kritikan berhubung prestasi semasa Kelantan FC.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan akan terus berjuang membangunkan Kelantan FC sehingga masa yang sesuai.
Malah, beliau juga telah berjumpa dengan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mendapatkan inspirasi memacu pasukan pantai timur itu.
"Maka, selepas berjumpa dengan DYMM TMJ semalam, saya dapat semangat baru,inspirasi untuk saya teruskan menerajui kelab ini dan buat yang terbaik.
"Mungkin tak sekelip mata tapi berperingkat dan berfasa," katanya. - Sinar Harian