Zainol: Pemain Perak tidak perlu risau dengan laporan polis dan SPRM

Astro Awani
September 24, 2013 18:50 MYT
Pegawai dan pemain pasukan liga super Perak tidak perlu bimbang dengan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya mereka tidak terlibat.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, keluarga mereka juga tidak seharusnya salah faham dengan tindakan drastik PAFA itu.
Menurut beliau, tindakan Pafa membuat laporan polis dan SPRM pada Isnin bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk membersihkan imej pasukan dan memulihkan imej bolasepak keseluruhannya.
Beliau berkata, hasil siasatan itu akan diumumkan dalam masa dua minggu dan jika terbukti tidak terdapat sebarang elemen sabotaj dan rasuah, ia akan memulihkan semula imej bolasepak yang tercalar dengan isu rasuah yang diperkatakan oleh peminat, khususnya di laman-laman sosial.
Beliau menjelaskan, siasatan bukan hanya menjurus kepada perlawanan terakhir menentang Sarawak di Kuching yang menyebabkan Perak dibelasah 1 – 6, tetapi meliputi seluruh musim.
“Matlamat kita ialah untuk memulihkan imej dan kepercayaan peminat dan penyokong kepada bolasepak,” katanya ketika ditemui di Ipoh pada Selasa sebagai mengulas lanjut tindakan PAFA menggantung pasukan Perak selama dua minggu kerana mengesyaki kemungkinan terdapat elemen sabotaj dan rasuah.
Presiden PAFA itu berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai usaha untuk menjadi majikan yang terbaik, termasuk memberi pelbagai insentif kepada para pemain.
Sementara itu, pihak SPRM telah mula memanggil para pemain untuk di soal siasat di pejabatnya di Meru Raya, Ipoh mulai jam 2 petang pada Selasa.
Zainol turut mengesahkan beberapa pegawai sprm telah mengunjungi pejabat PAFA mulai jam 10 pagi Selasa untuk mendapatkan beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan.
#Datuk Zainol Fadzi Paharudin #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;