Zainal tuntut penyerang tempatan lebih tajam, keluar dari bayang awang import

Bernama
Februari 16, 2023 04:00 MYT
Bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin Hassan bercakap pada sidang media Majlis Malam Gebang Bola Astro 2023. - BERNAMA
PETALING JAYA: Legenda bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin Hassan, mencabar barisan penyerang tempatan supaya menyaingi kehebatan awang import, pada musim baharu Liga Super 2023.
Zainal berharap Liga Super 2023 menjadi pentas kebangkitan penyerang tempatan, kerana ia secara tidak langsung mampu memberi manfaat besar kepada skuad Harimau Malaya, untuk memiliki penyerang prolifik dalam saingan bola sepak antarabangsa.
"Saya cuma mahu nasihat penyerang tempatan agar tidak cepat putus asa dan berlatih bersungguh-sungguh, sekiranya tidak dapat peluang bermain.
"Bagi saya tidak semua penyerang import itu baik, masing-masing ada kelebihan tersendiri dan di sini pemain tempatan perlu berusaha dan beri keyakinan tinggi kepada jurulatih, untuk berada dalam kesebelasan utama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program 'Malam Gebang Bola 2023' di sini, pada Khamis.
Zainal pada masa sama juga mengingatkan kesemua jurulatih, agar tidak mengabaikan penyerang tempatan dengan memberikan minit permainan, bagi mengelakkan mereka daripada mengalami ketumpulan penyudah.
Bagaimanapun, bekas penyerang Selangor itu mengakui jurang penyerang tempatan dengan import masih lagi tinggi, biarpun mereka memiliki kemahiran dan teknikal baik di atas padang.
"Pemain kita ambil peluang terlampau banyak untuk jaringkan gol walhal penyerang import dapat jaringkan satu gol daripada dua peluang sahaja. Pemain import lebih tajam kerana mereka berlatih bersungguh-sungguh dan di sini pemain tempatan perlu buat 'homework' lebih lagi," katanya.
Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih Penang FC itu meramalkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan terus mendominasi Liga Super kali ini, memandangkan mereka memiliki struktur pasukan yang jauh lebih baik daripada pencabar lain.
Justeru, beliau berharap agar pasukan lain dapat menjadikan JDT sebagai contoh, bagi mereka untuk membina skuad lebih mantap pada masa depan.
Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali, menamakan empat pasukan iaitu Selangor FC, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC, yang mampu mencabar JDT pada musim baharu yang akan membuka tirai pada 24 Feb ini.
Bekas pemain pertahanan Melaka United FC Razman Roslan pula, menjangkakan Penang FC boleh membuat kejutan pada musim 2023, susulan kejayaan mengikat dua pemain dari pasukan lamanya iaitu Giovane Gomes dan Adriano Narcizo, yang diyakini mampu menambah bisa 'Harimau Kumbang'.
-- BERNAMA
#Zainal Abidin Hassan #awang import #Liga Super 2023 #harimau Malaya
;