Zaidatul Husniah sukar digugat, pertahan gelaran Ratu Pecut All Comers

Bernama
Mac 2, 2024 23:36 MYT
Zaidatul Husniah berkata beliau bertekad untuk memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Sirkit 3 Siri Olahraga Kebangsaan 2024. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Atlet pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli cemerlang memulakan musim 2024 apabila berjaya mempertahankan gelaran Ratu Pecut pada Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers, hari ini.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, pelari berusia 31 tahun yang mewakili Tentera Darat itu mencatatkan masa terpantas 12.01 saat (s) pada aksi final 100 meter.
Beliau mengatasi seorang lagi pelari pecut negara daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Azreen Nabila Alias yang melakar rekod 12.09s manakala gangsa menjadi milik atlet Beecity Squad, Nurul Faizah Asma' Mazlan dengan 12.43s.
Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan prestasinya hari ini memandangkan catatan pada edisi tahun lepas lebih pantas.
"Apa-apapun bersyukur dapat habiskan walaupun masa tak berapa cantik, tapi pertandingan pertama tahun ini, sasaran memang nak pecahkan rekod kebangsaan tapi keadaan tak mengizinkan," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Zaidatul Husniah berkata beliau bertekad untuk memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Sirkit 3 Siri Olahraga Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung sama ada pada April atau Mei ini.
Rekod kebangsaan 100m wanita masih dipegang bekas pecut negara, G. Shanti iaitu 11.50s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Pada 2017, Zaidatul Husniah mencatatkan masa 11.36s pada Kejohanan ASA Speed Series 2 Bloemfontein di Afrika Selatan yang dianggap sudah mengatasi rekod Shanti namun tidak diiktiraf juri pertandingan sejam kemudian, kerana dikatakan mendapat bantuan tiupan angin selaju 2.5 kilometer per jam.
Sementara itu, bagi saingan 100m lelaki, Jonathan Nyepa mendominasi kedudukan podium dengan catatan masa 10.47s meninggalkan Muhammad Haiqal Hanafi (10.59s) dan Muhammad Arsyad Md Saat (10.64) masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.
Jonathan berkata catatan yang dibuatnya itu merupakan permulaan baik bagi musim ini melihat kepada catatannya yang melebihi 10.50 sebelum ini.
-- BERNAMA
#rekod kebangsaan #permulaan baik #tiupan angin #ratu pecut
;