Zai Furqan atasi Ian Nuriman dalam saingan papan selaju Hari Sukan Negara 2018

Ian Johan Ariff
Oktober 15, 2018 09:49 MYT
Aksi Zai Furqan pada Hari Sukan Negara di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. - Foto Ian Johan Ariff.
Zai Furqan Zainordin dari Kajang muncul juara kategori terbuka saingan papan selaju pada Hari Sukan Negara semalam, mengatasi wakil negara ke Sukan Asia, Ian Nuriman.
Ian yang bertanding dalam dua kategori pada acara sampingan sempena sambutan yang diadakan di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu mendapat tempat ketiga dibelakang Khaliq Yusof, yang bangkit daripada run pertama yang mengecewakan.
Dalam saingan kategori terbuka, Zai Furqan berjaya mempamerkan aksi yang konsisten pada run yang kedua dengan hanya satu trik gagal disempurnakan.
Manakala Khaliq yang mempamerkan aksi yang longlai dalam run yang pertama, bangkit semula dalam cubaan keduanya dengan tiga trik teknikal yang berjaya memberi kelebihan kepadanya berbanding Ian.
Ian juga terpaksa berhempas pulas dalam cubaan keduanya apabila run pertamanya menyaksikan dia gagal menyempurnakan dua trik yang berjaya dilakukan dengan konsisten pada hari Sabtu.
Bagaimanapun wakil negara berusia 11 tahun itu itu tidak pulang hampa kerana berjaya memenangi kategori bawah 12 tahun, mengatasi Izwan Shah Ahmad Idham, 11 tahun dan Mernullah Khan, 8 tahun, masing-masing ditempat kedua dan ketiga.
Pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai dan hadiah daripada penaja.
#Bukit Jalil #Hari Sukan Negara 2018 #Ian Nuriman #Papan Selaju #Stadium Nasional #Zai Furqan
;