Yuto Horigome, pemain Asia pertama muncul juara SLS

Ian Johan Ariff
Mei 28, 2018 16:10 MYT
Yuto Horigome (tengah) muncul juara SLS Pro Open London 2018 dengan mengatasi Vincent Milou (kiri) dan Kevin Hoefler (paling kanan). - Gambar Instagram/SLS
Yuto Horigome muncul pemain Asia pertama menjuarai kejohanan papan selaju paling prestij, Street League Skateboarding (SLS).
Peserta Jepun berusia 19 tahun itu bukan sahaja muncul juara dalam kejohanan SLS Pro Open London 2018 semalam, malah dia turut mencipta sejarah dengan tiga ‘9 club’, iaitu mencatat tiga trik yang mendapat 9 mata atau lebih.
Yuto mengalahkan Vincent Milou dari Perancis yang menamatkan saingan di tempat kedua dan peserta pilihan dari Brazil, Kevin Hoefler, di tempat ketiga.
Berasal dari Tokyo, Yuto berhijrah ke Amerika Syarikat pada 2016 untuk mengangkat namanya sebagai salah seorang pemain papan selaju yang disegani di dunia.
Yuto kemudian mendapat tajaan Blind Skateboards dan tampil dalam beberapa video yang mendapat tumpuan di Amerika Syarikat, selain mendapat tempat keempat dalam kejohanan amatur, Tampa Am pada 2016.
Dia kemudian mendapat jemputan untuk bersaing dalam SLS Pro Open 2017 selain mendapat tajaan jenama sukan terkemuka, Nike.
Walaupun belum mencapai status seorang pemain profesional, kejayaan ini membuktikan Yuto bukan sahaja hebat di gelanggang kejohanan tetapi juga di jalanan.
Pencapaian terbaik Yuto adalah mendapat tempat kedua di Munich 2017 dan tempat ketiga di Pro Open Barcelona, juga tahun lepas.
Dalam kategori wanita, persaingan sengit antara peserta pilihan, Lacey Baker dan Jenn Soto menyaksikan acara wanita didominasi peserta Amerika.
Bagaimanapun Soto, 22 tahun lebih unggul apabila mencatat 5.6 mata pada cubaan terakhir acara best trik, untuk memintas Baker.
Mariah Duran, 21 tahun dapat tempat ketiga.
#9 club #Blind Skateboards #Jenn Soto #Kevin Hoefler #Papan Selaju #sls #SLS Pro Open #street league #Tampa Am #Vincent Milou #Yuto Horigome
;