Yuto Horigome menang emas pertama papan selaju Sukan Olimpik

Ian Johan Ariff
Julai 25, 2021 13:36 MYT
Yuto Horigome cemerlang dalam acara Best Trick untuk melakar kemenangan bersejarah di tempat kelahirannya. - Gambar Instagram @worldskatesb
TOKYO: Yuto Horigome melakar sejarah sebagai pemenang emas pertama bagi acara papan selaju yang julung kali diadakan di temasya Sukan Olimpik.
Lebih manis lagi, kemenangan dilakar di gelanggang papan selaju yang dibina di bandar kelahirannya, Koto.
Horigome yang tidak mempamerkan run yang menarik, mengutip mata kemenangan menerusi empat mata dalam saingan Best Trick.
Yuto yang mendapat 9.03 pada cubaan pertama, melengkapkan tiga trick berturut-turut pada cubaan ketiga, keempat dan kelima dengan kutipan, 9.35, 9.50 dan 9.30 untuk mengumpul 37.18 mata.
Perak diraih peserta Brazil, Kelvin Hoefler dengan 36.15 mata dan gangsa dibawa pulang wakil Amerika Syarikat, Jagger Eaton dengan 35.35 mata.
Saingan pertama papan selaju di Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan peserta pilihan, Nyjah Huston dari Amerika Syarikat gagal mempamerkan prestasi yang baik, apabila gagal dalam empat percubaan berturut-turut dalam saingan Best Trick.
Huston terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketujuh daripada lapan finalis di Ariake Park.
Hoefler yang pernah menjadi juara beberapa kejohanan papan selaju bertaraf dunia sebelum ini pula menunggu sehingga cubaan Best Trick yang terakhir untuk mencatat 9.34 mata, sekali gus merampas pingat perak dari Eaton.
Eaton ternyata tidak kecewa dengan pencapaiannya itu dan kejayaannya menaiki podium merupakan satu kejutan.
Peluncur berusia 20 tahun itu tidak disenarai sebagai peserta pilihan apabila berada pada kedudukan yang rendah menuju ke kelayakan Olimpik.
Eaton dilihat tenang dan tidak menghadapi sebarang tekanan di gelanggang, kerap kali dilihat bermain telefon bimbitnya di gelanggang untuk memilih lagu yang berjaya menenangkannya semasa pertandingan sedang berlangsung.
Acara papan selaju diteruskan pada Isnin, dengan kategori Street Wanita.
#Tokyo 2020 #Papan Selaju #Yuto Horigome #Sukan Olimpik Tokyo #Olimpik Tokyo 2020
;