Yuen, Vanessa tersingkir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong
Bernama
November 30, 2015 21:24 MYT
November 30, 2015 21:24 MYT
Pemain Malaysia, Ivan Yuen dan Vanessa Raj, terpaksa akur kepada lawan masing-masing dalam perlawanan akhir pusingan kelayakan Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong, yang berlangsung di gelanggang Kelab Bola Sepak Hong Kong pada Isnin.
Yuen mempamerkan prestasi cemerlang ketika menentang Declan James dari England dalam perlawanan lima set sebelum tumpas 11-5, 5-11, 8-11, 11-3 dan 6-11 dalam perlawanan berlangsung kira-kira satu jam 40 minit.
Vanessa Raj pula kalah kepada pemain veteran Mexico, Samantha Teran 8-11, 7-11 dan 2-11 dalam perlawanan selama 24 minit, menurut laman sesawang kejohanan itu, www.hksquashopen.com.
Pada perlawanan kelayakan pertama, Yuen mengetepikan pemain tuan rumah, Ma Tsz Hei 11-8, 11-2, 11-7, manakala Vanessa Raj mengalahkan Cheng Nga Ching, juga dari Hong Kong, 11-5, 11-5, 11-8.
Sementara itu, ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol David, yang sedang memburu gelaran ke-10 di Terbuka Hong Kong, akan berdepan Liu Tsz Ling dari Hong Kong dalam pusingan pembukaan, Rabu ini.
Untuk rekod, Nicol menjuari Terbuka Hong Kong sembilan kali berturut-turut sejak 2006.
Low Wee Wern, yang kembali ke gelanggang antarabangsa setelah berehat sekian lama kerana mengalami kecederaan lutut, akan menentang pemain yang melayakkan diri ke kejohanan ini pada Selasa, manakala juara kebangsaan 2015, Delia Arnold, akan bertemu pemain Guyana, Nicolette Fernandes, sehari kemudian.
Pemain lelaki nombor satu Malaysia, Mohd Nafiizwan Adnan akan memulakan kempennya menentang pemain England, Daryl Selby, pada Selasa.
Kesemua perlawanan pusingan awal bagi kedua-dua kategori di Pusat Skuasy Hong Kong, manakala perlawanan separuh akhir dan akhir akan berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong Park.