Yong Li buktikan kayuhan masih berbisa

Sinar Harian
Mac 12, 2023 07:45 MYT
Yong Li (tengah) mengungguli kategori 42 km lelaki pada perlumbaan OCBC Cycle KL di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Ahad. - Foto Sinar Harian
BEKAS pelumba kebangsaan, Ng Yong Li membuktikan kayuhannya masih berbisa apabila mengungguli kategori 42 kilometer (km) lelaki pada perlumbaan OCBC Cycle Kuala Lumpur (KL) 2023 di Dataran Merdeka pada Ahad.
Yong Li yang kini mewakili kelab amatur tempatan, Bike Baju merakamkan catatan masa keseluruhan 1 jam 02 minit dan 54 saat, sekali gus merekodkan kejayaan ketiganya pada OCBC Cycle KL selepas turut muncul juara edisi 2018 dan 2019.
Tempat kedua dan ketiga kategori tersebut masing-masing dimenangi dua pelumba amatur tempatan - Andy Saiden dan See Ming Chien yang merekodkan catatan masa sama iaitu 1:03:15s.
“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini kerana saya sememangnya meletakkan sasaran untuk menang. Seperti yang kita ketahui, sudah tiga tahun OCBC Cycle KL tidak diadakan akibat pandemik Covid-19.
“Jadi sebaik mengetahui OCBC Cycle KL akan kembali berlangsung tahun ini, saya cukup teruja. Awal-awal lagi saya sudah mendaftarkan penyertaan untuk menyertai pertandingan kali ini,” kata Yong Li.
Sepanjang karier profesionalnya sebelum bersara pada 2014, Yong Li yang kini sudah mencecah usia 37 tahun pernah mewakili beberapa kelab profesional termasuk pasukan benua negara, LeTua Cycling Team.
Selain LeTua, pelumba kelahiran Johor itu pernah mewakili Proton T-Bikes Cycling Team, Vitória–ASC, Meitan Hompo-GDR, Azad University Cross Team sebelum mengakhiri kariernya bersama kelab Taiwan, RTS–Santic Racing Team.
Dalam pada itu, Yong Li berkata, penganjuran OCBC Cycle KL yang memasuki edisi keenam tahun ini menjadi platform terbaik untuk 'membudayakan' sukan berbasikal kepada warga tempatan di pelbagai peringkat umur dan kaum.
“Apa yang saya lihat semua peserta cukup gembira dan teruja apabila dapat berkayuh dengan selamat sambil mereka dapat menikmati keindahan suasana di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
“Ia secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat kekitaan sesama peserta. Paling penting saya percaya OCBC Cycle KL ini dapat menarik minat orang ramai untuk beriadah sambil bersukan,” ujarnya.
Bagi kategori 42km wanita (road bike), tempat pertama dimenangi Ong Suat Fan dengan catatan 1:15:49s, manakala Mimi Toh (1:22:36s) dan Yi Jiun Chan (1:24:22s) masing-masing menamatkan saingan di tangga kedua dan ketiga.
Dalam kategori 42km lelaki (mountain bike), Muhammad Khairul Izwan Mohd Basri muncul juara dengan catatan 1:09:03s, diikuti P Feliciano (1:17:53s) di tempat kedua dan Safreyzal Abdullah (1:20:08s) di tempat ketiga.
Kategori 42km wanita (mountaian bike), Low Choon Lian menyambar tempat pertama dengan catatan 1:38:16s, manakala Adeline Ong di tempat kedua (1:49:52s) dan Leong Mei Sim di tempat ketiga (1:50:49s).
Bagi kategori 42km lelaki (folding bike), tempat pertama dimenangi Rushdan Rusdi yang merekodkan masa 1:07:08s, manakala Razi Effendi Suhit (1:11:00s) dan Chew Kheng Seng (1:15:41s) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori 42km wanita (folding bike), Dagreat Izzura Dagreat muncul juara dengan catatan masa 1:10:58s, diikuti Hing Kui Ngeng (1:38:33s) di temoat kedua dan Liza Teh (1:49:59s) di tempat ketiga.
Kategori 42km lelaki (fat bike), Mohd Razif Mohd Salleh meraih tempat pertama selepas mencatatkan masa 1:07:14s, tempat kedua dimenangi Muhammad Aniq Najmuddin Md Sufian (1:09:04s) dan tempat ketiga milik Mohd Kushairi Hashim (1:09:04s).
Bagi kategori 42km individu lelaki staf OCBC, Shafiq Mohamed muncul juara dengan catatan 1:10:27s, manakala Jerico Aragoncilo (1:11:01s) di tempat kedua dan Abdul Hadi Mohamad (1:15:43s) di tempat ketiga.
Bagi kategori 42km individu wanita staf OCBC, Kee Soo Chian berjaya meraih tempat pertama dengan catatan 1:25:14s, manakala Poon Wei Leng (1:26:55s) di tempat kedua dan Adel Zulim Sim (1:29:14s) di tempat ketiga.
Kategori berpasukan staf OCBC menyaksikan pasukan Not4FatFingers menduduki tempat pertama apabila merekodkan masa keseluruhan 5:34:51s, diikuti PenJD & Superfriends Cycling Team (5:47:19s) dan Joyrider2 (6:28:15s)
Kategori baharu - berpasukan terbuka yang menampilkan seramai 10 pelumba dalam setiap pasukan pula dimenangi Perodua Cycling Community A dengan catatan 12:15:01s, diikuti OCBC (14:45:32s) dan Perodua Cycling Community B (15:31:15s).
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyempurnakan majlis pelepasan peserta adalam dalam acara kayuhan itu yang lebih terkenal dengan jolokan The City Ride pada jam 6.45 pagi.
Beliau diiringi Pengarah Jabatan Kebudayaan Kesenian & Pelancongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmi Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana OCBC Cycle KL 2023, Datuk Naim Mohamad dan Naib Presiden Eksekutif OCBC Ltd, Koh Ching Ching. - Sinar Harian
#bekas pelumba kebangsaan #Ng Yong Li #OCBC Cycle KL #pelumba basikal
;