YOG 2014: Loh cipta kejutan raih Pingat Perak acara terjun

Bernama
Ogos 23, 2014 23:41 MYT
KEJUTAN: Loh (kiri) bersama pemenang pingat emas dan gangsa dari China, Wu Shengping (tengah) dan Alejandra Orozco Loza dari Mexico dalam acara 10 meter pada YOG 2014 di Pusat Sukan Olimpik, Nanjing di sini pada Sabtu. - fotoBernama
Penerjun wanita negara Loh Zhiayi mempamerkan aksi di luar jangkaan untuk merangkul pingat perak dalam individu acara 10m platform pada temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) di sini pada Sabtu.
Loh mengumpul 450.65 mata manakala penerjun China, Wu Shenping meraih emas dengan catatan 526.20 mata dan pingat gangsa menjadi milik penerjun Mexico, Orozco Loza Alejandra dengan 430.25 mata.
Beliau berkata pada mulanya beliau tertekan dengan tugasan untuk mempertahankan pingat perak menerusi acara yang sama sebelum ini diraih oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong pada edisi pertama YOG di Singapura pada 2010.
"Pada peringkat saringan, saya telah melakukan yang terbaik, namun agak ketinggalan apabila penerjun China berada jauh di hadapan pada aksi final tadi.
"Namun saya tidak putus asa dan berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mengatasi penerjun Mexico yang mengekori rapat kemudianya," katanya kepada Bernama di sini.
Loh berkata beliau gembira kerana dapat menjadi penyumbang pingat kedua untuk kontinjen negara selepas pemain badminton Cheam June Wei menyumbang pingat emas pertama negara menerusi acara beregu campuran antarabangsa semalam.
"Saya ingin hadiahkan pingat perak ini kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu tempat tumpah darah saya," kata penerjun berusia 16 tahun itu.
Sementara itu, ketua kontinjen negara Wong Pei Tty berkata beliau bangga dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh semua atlet negara walaupun tiada sasaran pingat diletakkan kepada mereka.
"Bagaimanapun, sasaran peribadi saya sebelum ini adalah tiga pingat tanpa mengira warna...diharap satu lagi pingat atau lebih mampu diraih oleh atlet selepas ini," katanya.
#Loh Zhiayi #Penerjun wanita negara #Sukan Olimpik Remaja
;