Yew Sin-Ee Yi masih mahu rebut tempat di Olimpik

Bernama
Januari 11, 2025 15:15 MYT
Pasangan nombor 24 dunia itu akan berdepan dengan gandingan nombor dua dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang di Terbuka India 2025 pada 14-19 Jan ini di New Delhi. - Gambar fail/ BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memberi bayangan akan meneruskan aksi di pentas antarabangsa dengan meletakkan sasaran layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Ee Yi berkata bersaing di Olimpik adalah impian setiap pemain dan bagi mengelak sesalan di masa depan beliau bertekad untuk berusaha mati-matian merebut tempat dalam sukan berpestij itu.
"Kalau boleh nak bersaing di Sukan Olimpik sebab tak pernah lagi masuk. Dapat pijak gelanggang Sukan Olimpik pun sudah puas," katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, Yew Sin mengakui cabaran utama mereka ialah bersaing dengan gandingan lebih muda dan meningkat naik, namun beliau dan Ee Yi akan bekerja keras untuk meraih slot di Olimpik.
"Saya 30 tahun dan Ee Yi pula 32 tahun, rasanya kami masih boleh bersaing untuk beberapa tahun lagi. Hati kami masih muda," katanya.
Semalam, Yew Sin-Ee Yi tersingkir di suku akhir Terbuka Malaysia 2025 selepas tewas kepada gandingan India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy 26-24, 21-14.
Pasangan nombor 24 dunia itu akan berdepan dengan gandingan nombor dua dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang di Terbuka India 2025 pada 14-19 Jan ini di New Delhi.
-- BERNAMA
#badminton #olimpik los angeles #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi
;