Yew Sin-Ee Yi mara ke pusingan kedua BAC 2023
Bernama
April 26, 2023 23:55 MYT
April 26, 2023 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya melepasi halangan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.
Bagaimanapun, pasangan kelapan dunia itu terpaksa bekerja keras apabila bertarung sehingga set penentuan sebelum mengatasi pasangan India M R Arjun dan Dhruv Kapila 12-21, 21-16, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.
Kemenangan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi merekodkan kemenangan keempat ke atas Arjun-Dhruv selepas Terbuka Thailand 2021, All England 2021 dan Terbuka Jerman 2022.
Yew Sin-Ee Yi yang juga pilihan kelapan kejohanan akan menentang sama ada pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae atau beregu Jepun Ayato Endo-Yuta Takei pada pusingan kedua esok.
Sementara itu, beregu wanita profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kepada pasangan China Zhang Shu Xian-Zheng Yu yang juga pilihan keempat kejohanan, 15-21, 12-21.
-- BERNAMA