Yee Fatt direhatkan, Shahril Nizam pangku tugas Ketua Jurulatih Perak FC

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 2, 2021 22:05 MYT
Terdahulu, PAFA mencadangkan kepada Perak FC supaya merehatkan Yee Fatt (gambar) dalam mengharungi baki enam perlawanan Liga Super pada musim ini. - Gambar fail/ Stadium Astro
IPOH: Selepas mempertimbangkan situasi semasa dan mengambil kira cadangan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Perak FC memutuskan agar ketua jurulatih, Chong Yee Fatt direhatkan sementara mulai hari ini sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perak FC berkata, tugas Yee Fatt akan dipangku oleh Penolong Ketua Jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil.
"Perak FC yakin pengalaman luas Shahril Nizam bersama pasukan bola sepak Perak sejak 2017 akan dapat membantu skuad dalam mengharungi baki perlawanan Liga Super musim ini, seterusnya bangkit memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
"Perak FC berharap semua pihak, khususnya para peminat dapat terus memberikan sokongan padu dan kepercayaan kepada pasukan," katanya.
Terdahulu, Pafa mencadangkan kepada Perak FC supaya merehatkan Yee Fatt dalam mengharungi baki enam perlawanan Liga Super pada musim ini, susulan prestasi pasukan yang tidak memuaskan.
Presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, tindakan itu perlu untuk mencari formula baharu dan mengubah nasib pasukan tersebut yang tidak mustahil akan tersingkir ke saingan Liga Perdana jika terus dilanda badi kekalahan.
Menurutnya, ketika ini Perak FC boleh dianggap sebagai pasukan belasahan dan jika dibiarkan berterusan, kemungkinan besar akan jatuh daripada Liga Super.
Untuk rekod, The Bos Gaurus merupakan satu-satunya pasukan bola sepak yang belum pernah tersingkir daripada Liga Super.
#Perak #Perak FC #PAFA #jurulatih #direhatkan #Chong Yee Fatt #Liga Super
;