Yayasan Astro Kasih meterai MoU bersama BAM
Fareez Azman
November 21, 2023 20:45 MYT
November 21, 2023 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Yayasan Astro Kasih hari memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu acara di ibu negara pada Selasa.
Menurut Pengerusi Yayasan Astro Kasih, Tun Zaki Tun Azmi, kerjasama itu dijangka dapat memperkukuhkan program melahirkan pemain badminton muda untuk diserapkan sebagai tonggak pemain kebangsaan bertaraf dunia.
"Ini hanyalah permulaan, saya melihat pada jangka masa panjang bahawa kerjasama kita Astro Kasih dengan BAM akan terus maju ke hadapan.
"Insya-Allah dengan kerjasama ini kita dapat menambah lagi banyak pemain-pemain yang boleh menjadi jaguh dunia pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam pada itu memuji usaha Yayasan Astro Kasih selama ini dalam mencungkil bakat muda pemain badminton di negara ini.
Ujarnya, program Astro Kem Badminton (AKB) berjaya melahirkan ramai pemain bertaraf kebangsaan.
"Sebelum ini BAM berperanan untuk memastikan badminton negara terus diperkuatkan. Menerusi kerjasama ini dijangka dapat memperkukuhkan lagi program pencarian pelapis muda dalam sukan badminton.
"Program pencarian bakat muda oleh Astro Kasih boleh saya sifatkan sebagai program yang berjaya dan amat signifikan di Malaysia. Saya ingin menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Tun Zaki dan seluruh pasukan Astro Kasih atas kerjasama ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani MoU Yayasan Astro Kasih dan BAM di Petronas Akademi Badminton Malaysia (PBAM) di ibu negara pada Selasa.
Astro Kem Badminton (AKB) di bawah Yayasan Astro Kasih sebelum ini berjaya melahirkan bakat muda badminton negara.
Sehingga kini, kira-kira 19,000 peserta telah menyertai program itu. Sejak diwujudkan 11 tahun lalu, seramai 40 pemain skuad kebangsaan berjaya dilahirkan menerusi program berkenaan.