Yakin Shereen mampu terus menyinar - Muhammad Azeem
Bernama
Julai 6, 2024 05:15 MYT
Julai 6, 2024 05:15 MYT
SURABAYA: Raja pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berharap semangat ratu pecut negara Shereen Samson Vallabouy tidak luntur meskipun tidak dipilih untuk mengisi slot 'wild card' ke Sukan Olimpik Paris 2024 Julai ini.
Atlet berusia 20 tahun itu mengakui Shereen seorang atlet hebat dan berpeluang beraksi di Sukan Olimpik pada masa akan datang selain berharap beliau terus menyinar mengharumkan nama negara.
"Dia (Shereen) selalu buat yang terbaik, dia pecahkan rekod kebangsaan, saya harap perkara ini (tiket wild card) tidak mematahkan semangatnya kerana saya percaya Shereen mampu bangkit lebih cemerlang pada masa akan datang, dia bakal muncul antara pelari pecut terbaik Malaysia dalam acara 400 meter (m).
"Semua tahu ibu bapanya adalah bekas atlet negara malah saya berharap untuk menjadi seperti keluarganya, seluruh keluarga terlibat dalam Olimpik, jadi saya percaya pada edisi seterusnya dia akan berada di pentas Olimpik," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Rabu lepas, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan tiket 'wild card' ke Sukan Olimpik Paris 2024 diberikan kepada Muhammad Azeem sekali gus mengetepikan seorang lagi calon Shereen yang juga pelari 400m wanita negara.
-- BERNAMA