Yakeb sasar 1,000 bekas atlet baharu tahun ini
Bernama
April 27, 2024 18:16 MYT
April 27, 2024 18:16 MYT
KOTA BHARU: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyasarkan seramai 1,000 bekas atlet dapat berdaftar di bawah yayasan itu sepanjang tahun ini bagi menambah keahlian sedia ada seramai 3,079 ahli setakat ini.
Pengerusinya Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata usaha berkenaan adalah bagi memastikan setiap bekas atlet mendapat pembelaan sewajarnya melalui pelbagai manfaat skim yang ditawarkan.
"Kita harap dapat capai seramai 4,000 ahli tahun ini, jadi mana-mana bekas atlet yang belum berdaftar dapat segera melakukannya menerusi pendaftaran dalam talian yang disediakan kerana kita menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka.
"Antaranya termasuk pembiayaan perubatan kritikal sehingga RM20,000, peralatan kesihatan RM20,000 selain bantuan lain seperti khairat kematian dan bantuan pelajaran kepada anak-anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet bola keranjang Kelantan Wee Chong Por yang kini terlantar selepas mengalami masalah osteoporosis di Shalis Care Centre di sini hari ini.
Noorul Ariffin berkata Yakeb menyediakan sumbangan kira-kira RM500,000 tahun ini membabitkan 150 bekas atlet di seluruh negara menerusi pelbagai bentuk bantuan termasuk peralatan kesihatan.
Katanya bagi negeri Kelantan seramai 300 bekas atlet telah dikenal pasti setakat ini dan kebanyakannya terdiri daripada atlet paralimpik telah menerima pelbagai manfaat yang disediakan Yakeb.
Mengulas lanjut, Noorul Ariffin berkata lawatannya ke Kelantan hari ini juga bagi menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet bola sepak kebangsaan Apandi Yusof, 73, yang kini sedang menjalani rawatan di cawangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Sementara itu, Wee berkata kedatangan rombongan Yakeb ke pusat rehabilitasi itu sangat bermakna buat dirinya yang kini tidak lagi dapat berjalan selepas melakukan pembedahan lutut kira-kira 10 tahun lepas.
Wee yang kini berusia 82 tahun memulakan kerjaya sebagai pemain bola keranjang sejak berusia 16 tahun memaklumkan beliau menetap di pusat jagaan itu kira-kira tiga minggu lepas apabila isterinya Loi Ham Weong, 83, tidak lagi dapat dapat menguruskannya akibat dijangkiti kanser paru-paru tahap empat dan turut dirawat di pusat jagaan sama.
Wee pernah mendapat pingat emas bagi acara bola keranjang di sukan Asia 1979 di Jakarta dan Sukan SEA di Filipina pada 1985 selain menjadi jurulatih pasukan bola keranjang kebangsaan.
-- BERNAMA