Wushu: Pingat gangsa untuk Mun Hua

Bernama
Disember 10, 2013 16:11 MYT
Ho Mun Hua menjadi penyumbang pingat terakhir dari kem wushu negara menerusi pingat gangsa dalam acara Nangun lelaki pada aksi penutup tirai di Stadium Tertutup Wunna Theidki A, hari ini.
Ho mengutip 9.67 mata berada di belakang pemenang pingat perak, Soe Kyaw dari Myanmar yang mendapat 9.69 mata manakala pingat emas menjadi milik atlet Vietnam, Quoc Khanh Pham dengan 9.70 mata.
Sementara itu, rakan senegara Kevan Cheah Peng Heng hanya menduduki tempat kelima dengan mengumpul 9.64 mata.
Ho berkata beliau tetap gembira dan berpuas hati dengan pencapaiannya meraih tiga perak dan satu gangsa untuk pasukanya.
"Saya telah cuba buat persembahan terbaik hari ini dan saya akur bahawa peserta Myanmar dan Vietnam memang layak untuk mendapat tempat pertama dan kedua hari ini.
"Walaupun tidak dapat pingat emas...apa yang lebih penting bagi saya ialah saya telah melakukan persembahan yang terbaik dan jurulatih berpuas hati dengan apa yang saya lakukan," katanya kepada pemberita.
Ho berkata tumpuannya selepas ini adalah melakukan persiapan awal bagi menghadapi temasya Asia di Incheon, Korea Selatan dari 18 Sept hingga 27 Okt, 2014 dengan pingat emas menjadi sasaran sekiranya terpilih untuk mewakili negara.
Skuad wushu negara berjaya mencapai sasaran pingat apabila secara keseluruhan mengumpul tiga pingat emas, lima perak dan enam gangsa.
Sementara itu, jurulatih wushu kebangsaan, Yoong Thong Foong berkata beliau berpuas hati dengan persembahan dan pencapaian yang diraih anak didiknya namun agak terkilan dengan keputusan pengadil yang didakwanya berat sebelah.
"Saya rasa lega apabila kita berjaya mencapai sasaran tiga pingat emas semalam namun saya agak terkilan dengan keputusan pengadil yang berat sebelah.
"Kita sepatutnya boleh raih empat pingat emas menerusi Ho menerusi acara Nanquan sejak hari pertama namun keputusan pengadil tidak memihak kepada Malaysia," katanya.
#Ho Mun Hua #Myanmar #Sukan SEA #wushu
;