Wushu hadiahkan Melaka pingat emas pertama SUKMA 2024
Bernama
Ogos 14, 2024 11:15 MYT
Ogos 14, 2024 11:15 MYT
KUCHING: Gerakan tangkas dan kemas atlet wushu Melaka Bryan Ti Kai Jie dalam acara nanquan lelaki membolehkannya memahat nama dalam sejarah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas memenangi pingat emas pertama temasya sukan edisi ke-21 itu hari ini.
Ia juga emas sulung Melaka pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.
Pada saingan final yang berlangsung di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya di sini, atlet berusia 20 tahun itu meraih pungutan mata tertinggi 9.600 untuk mengatasi 16 lagi pencabarnya.
Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah Fung Tai Leong, manakala Foo Mun Fei dari Perak terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas kedua-duanya berkongsi 9.560 mata.
Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula hari ini.
SUKMA 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak, menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.
Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA kali ini.
-- BERNAMA