Wujud tekanan pertahan gelaran juara dunia - Aaron
Bernama
Jun 27, 2023 18:24 MYT
Jun 27, 2023 18:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama negara Aaron Chia, mengakui wujud tekanan untuk mengulangi pencapaian bersejarah dengan pasangannya, Soh Wooi Yik, bagi mempertahankan gelaran juara dunia di Copenhagen, Denmark, dari 21 hingga 27 Ogos ini.
Aaron berkata cabaran pastinya lebih besar untuk meraih kejayaan kedua berturut-turut pada Kejohanan Badminton Dunia tersebut memandangkan ia turut menawarkan mata ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dijadual berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos, 2024.
"Tekanan memang ada namun kena prestasi yang baik, ketika ini dan juga ketika tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024, jadi ia sangat penting.
"Mungkin pada Oktober nanti kita dah tahu tahap kami di mana (ranking Olimpik). Jadi, kita ada kira-kira tujuh hingga lapan perlawanan menjelang Oktober yang perlu kita berusahan...dan sekurang-kurangnya konsisten hingga ke semi final atau final," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu juga berkata amat penting bagi mereka mara sekurang-kurangya ke separuh akhir dalam kejohanan terutamanya bertaraf tinggi seperti Super 750 dan 1000 bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang sedang berlangsung sehingga April depan.
Pada Ogos lepas, Aaron-Wooi Yik mencipta sensasi dengan menewaskan juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 21-14, sekali gus menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran sulung kejohanan dunia.
Biarpun berjaya merangkul gelaran juara dunia, pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih lagi belum menjuarai mana-mana kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak digandingkan pada 2017.
Ditanya sama ada mereka tercabar dengan kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mempertahan kejuaraan di Terbuka Taiwan 2023 Ahad lepas, Aaron sebaliknya berkata pencapaian dilakar rakan sepasukannya bukan sahaja membakar semangatnya dan Wooi Yik malah pasangan negara lain untuk muncul juara Jelajah Dunia nanti.
Katanya pencapaian diraih Wei Chong-Kai Wun juga mampu menguatkan lagi kem beregu lelaki negara sekali gus memberi banyak pilihan terutamanya bagi memilih pasangan terbaik menyertai pasukan negara dalam kejohanan berpasukan selepas ini.
Wei Chong-Kai Wun mengesahkan kejuaraan Terbuka Taiwan 2023 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 20-22, 21-17, 21-14 di final kejohanan Super 300 tersebut.
-- BERNAMA