Wujud satu stadium khas bola sepak

Fadzrie Hazis
April 25, 2013 18:24 MYT
Wujudkan stadium khas buat bola sepak, di setiap negeri.
Inilah harapan bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli terhadap mana-mana parti yang berjaya memenangi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13,pada 5 Mei ini.
"Kerana sekarang kalau kita lihat banyak stadium digunakan untuk aktiviti lain, kalau boleh lepas ni ada stadium khusus hanya untuk bola sepak saja.
"Dengan adanya stadium yang khusus buat bola sepak, ia juga membolehkan negara kita mempunyai keadaan padang yang sempurna untuk saingan Liga M, sama seperti di Eropah," kata Akmal ketika dihubungi di Alor Setar pada Khamis.
Saranan Akmal itu, adalah berlandaskan pengalamannya sendiri di Perancis, beraksi bersama skuad remaja kelab Ligue 1, Racing Starsbourg pada 1999 dan kemudian kelab Divisyen 3, FR Haguenau dari 2000 hingga 2001.
Akmal turut berharap, mana-mana parti yang mendapat mandat untuk membentuk kerajaan, akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan negara.
Penyerang Kedah ini juga menyarankan, kesemua pemain dalam saingan Liga M dan atlet sukan lain, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi PRU ke-13 kali ini.
Akmal adalah pengundi berdaftar di kawasan DUN Jitra dan parlimen Kubang Pasu.
Dalam pada itu, Persatuan Seni Silat Kebangsaan, PESAKA turut menyuarakan nada sama dengan Akmal.
Bagi Setiausaha Agungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, persatuan itu sebelum ini menerima sokongan dari Kementerian Belia Dan Sukan dalam memajukan lagi sukan ini.
Justeru,beliau berharap pendekatan itu akan berterusan tanpa mengira parti mana yang mendapat mandat dari rakyat, pada PRU kali ini.
"Silat bukan saja perlu dibangunkan sebagai sukan, tetapi ia juga adalah satu warisan budaya negara ini," kata Megat Zulkarnain.
#atlet #bola sepak #PRU13 #stadium
;