WTF: Kenaikan hadiah kemenangan tingkatkan prestasi permainan - Aaron

Bernama
Disember 8, 2023 18:10 MYT
"Dapat wang hadiah kemenangan seperti dapat 'ang pau'. Secara amnya, wang ditawarkan bagus untuk sukan badminton," kata Aaron Chia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lebih besar hadiah, lebih baik.
Beregu lelaki terbaik negara Aaron Chia percaya kenaikan dengan jumlah yang besar wang hadiah kemenangan ditawarkan Final Jelajah Dunia (WTF) tahun ini, akan meningkatkan lagi prestasi beliau dan pasangannya Soh Wooi Yik pada kejohanan penutup musim 2023, di Hangzhou China dari 13-17 Dis ini.
"Dapat wang hadiah kemenangan seperti dapat 'ang pau'. Secara amnya, wang ditawarkan bagus untuk sukan badminton," katanya pada sidang media berkaitan WTF 2023 di sini hari ini.
Bulan lepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan bahawa WTF kekal menjadi kejohanan badminton paling mahal, dengan badan itu menyediakan hadiah AS$11.5 juta (RM53.7 juta) untuk tempoh empat tahun.
Menurut BWF, jumlah hadiah untuk final tahun ini dan tahun hadapan masing-masing AS$2.5 juta (RM11.7 juta), manakala AS$3 juta (RM14 juta) untuk edisi 2025, diikuti AS$3.5 juta (RM16 juta) pada 2026.
Sebagai perbandingan, sejumlah AS$1.5 juta (RM7 juta) disediakan pada edisi 2022 di Nimibutr Arena, Bangkok.
Aaron berkata kejohanan tahun ini agak terbuka, kerana kesemua pasangan beregu agak setara kekuatan mereka.
"Dalam beregu lelaki, mana-mana pasangan berpeluang untuk menang gelaran. Untuk menang, semua kena konsisten," katanya.
Aaron berkata mereka tidak berasa sebarang tekanan, walaupun gagal untuk melepasi peringkat kumpulan pada tiga kejohanan terakhir mereka di WTF (2019, 2020 dan 2021).
Tujuh pasangan lain yang layak untuk edisi 2023 ialah pasangan nombor satu dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).
Lapan pasangan tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan dua terbaik dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir.
Undian kumpulan akan diadakan pada Isnin.
Sementara itu Wooi Yik berkata hadiah kemenangan yang tinggi akan meningkatkan lagi status badminton dalam kalangan peminat sukan di seluruh dunia.
"Ketika kami bermain di Sukan Olimpik Tokyo, badminton hanya satu sukan kecil berbanding yang lain. Diharapkan dengan peningkatan hadiah ini, akan membantu mempromosikan lagi sukan badminton," katanya.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata hadiah yang besar menunjukkan bahawa badminton mempunyai masa hadapan yang baik, terutamanya pada generasi muda.
Tahun ini juara perseorangan masing-masing akan menerima AS$200,000 (RM933,000), manakala AS$210,000 (RM980,000) menanti juara beregu, diikuti masing-masing AS$100,000 (RM466,000) untuk tempat kedua dan AS$50,000 (RM233,000) untuk yang layak ke separuh akhir.
-- BERNAMA
#Aaron Chia #hadiah kemenangan #WTF #final jelajah dunia #badminton
;