WTA kurang yakin kemunculan semula Peng Shuai selepas lama menghilang
Agensi
November 21, 2021 23:07 MYT
November 21, 2021 23:07 MYT
BEIJING: Bintang tenis China, Peng Shuai yang sebelum ini dikhuatiri hilang selepas mendiamkan diri selama beberapa hari, dilaporkan telah membuat kemunculan dalam satu acara kejohanan tenis di Beijing pada Ahad.
Menurut laporan, Peng dilihat bersama dengan para peserta sewaktu pusingan akhir Kejohanan Remaja Terbuka China dengan memakai jaket berwarna biru tua dan seluar berwarna putih.
Bekas beregu nombor satu dunia itu sebelum ini dilaporkan hilang selepas membuat dakwaan bahawa dia telah menjadi mangsa gangguan seksual.
Peng membuat dakwaan tersebut menerusi laman media sosial china, Weibo pada 2 November lalu bahawa bekas Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli memaksanya melakukan hubungan seks.
Bagaimanapun dakwaan itu telah segera dihapuskan dari platform terbabit dan Zhang mahupun pemerintah China sehingga kini tidak memberi kenyataan balas mengenai dakwaan itu.
Berhubung kelibat Peng yang dilihat di acara yang berlangsung di Beijing itu, pihak Persatuan Tenis Wanita (WTA) tidak berasa yakin dengan perkongsian video tentang kemunculannya.
Peng Shuai | WTA sanggup hilang berjuta dolar di china
Ia sekali gus tidak meredakan kebimbangan terhadap keadaan Peng yang menghilang tanpa sebarang khabar berita sebelum ini.
WTA sebelum ini sanggup kehilangan perniagaan bernilai berjuta dolar di China sekiranya bintang tenis Peng masih tidak ditemui.
Kata Pengerusinya, Steve Simon kepada CNN, WTA bersedia untuk berdepan dengan segala kesulitan bagi memastikan kes pemain tenis itu disiasat secara menyeluruh.